Rakyat di Terengganu perlu menepis propaganda yang disebarkan oleh pihak pembangkang atau berdepan dengan 'gerhana' jika pakatan politik itu kembali menerajui negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, rakyat negeri ini
perlu menolak usaha pihak tidak bertanggungjawab khususnya pemimpin Pas yang
cuba memperbodohkan pemikiran rakyat dengan janji yang bersifat ‘khayalan’.
Katanya, terdesak untuk memenangi banyak kerusi pada Pilihan Raya
Umum akan datang, parti pembangkang tidak habis-habis menabur janji kosong dan
berbohong kepada masyarakat demi meraih sokongan.
“Usaha yang dilihat sebagai murahan itu semakin menjadi-jadi sejak
akhir-akhir ini, kerana mereka (pemimpin Pas) begitu terdesak untuk menjadi
wakil rakyat hingga sanggup berbohong.
“Malah, ada di antara
pemimpim mereka mula naik tocang apabila Presiden (Dato’ Seri Abdul Hadi Awang)
parti itu umum tidak berminat untuk menjadi Menteri Besar jika mereka tawan
Terengganu,” katanya.
Beliau berucap pada majlis penyerahan e-Book peringkat Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kijal di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Anak Dara, Kemaman
hari ini.
Tambah Dato’ Seri Ahmad, rakyat negeri ini disaran tidak
mensia-siakan undi dalam memilih kerajaan yang lebih berwibawa demi memastikan
pembangunan asas di negeri ini dapat diperbaiki.
Katanya, perkara itu hanya dapat dicapai sekiranya kerajaan yang
dipilih benar-benar berwibawa dan dipimpin oleh mereka yang berkebolehan serta
berpengalaman.
“Sebab itu, kita perlukan
sebuah kerajaan yang lebih memfokuskan kepada agenda rakyat dan kerajaan yang
pandai serta bijak merancang sesuatu pelan berkesan dalam menjaga perihal
pembangunan rakyat,” katanya.
Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan e-Book percuma
kepada 677 murid tahun empat dari 10 buah sekolah di DUN berkenaan yang turut
dihadiri Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Hussin.
Daripada jumlah itu, 155 pelajar dari SK Bukit Kuang, SK Kijal
(141), SK Meraga Beris (45), SK Ibok (64), SK Bukit Anak Dara (22), SK Seri
Bandi II (55), SK Payoh (35), SK Seri Bandi (88), SK Padang Kubu (37) dan SK
Telok Kalong (41).
0 Komen