Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) hari ini
mencabar Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli memulangkan semula wang rakyat
yang digunakan untuk membayar gajinya sepanjang bertugas sebagai Ketua
Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi
Selangor.
Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, Rafizi perlu rasa
berdosa kerana menggunakan wang rakyat tetapi gagal berbuat sesuatu untuk
meningkatkan lagi ekonomi negeri Selangor kerana lebih gemar berpolitik.
“Rafizi tidak perlu putar
belit kenyataan. Beliau letak jawatan kerana mahu tumpu pilihan raya, bukan
kerana ikhlas mahu melepaskan jawatan itu. Jika memang duit rakyat, saya cabar
Rafizi pulangkan kembali elaun diterima sepanjang menjawat jawatan berkenaan,” ujarnya
dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online mengulas kenyataan Rafizi yang melepaskan
jawatan ketua eksekutif kerana tidak selesa menerima gaji daripada tabung
rakyat apabila tumpuannya cenderung kepada aktiviti politik.
Sohaimi berkata, Rafizi dilihat gagal dalam meningkatkan ekonomi
negeri Selangor sejak menyandang jawatan berkenaan pada tahun 2009.
“Beliau juga sepatutnya meminta maaf kepada rakyat Selangor kerana
kegagalannya itu,” katanya.
Rafizi menyandang jawatan berkenaan sejak 2009.
Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor diterajui Ketua Umum PKR, Datuk
Seri Anwar Ibrahim.
0 Komen