Abdul Khalid masuk perangkap, manifesto pembangkang tidak boleh dipercayai


Kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa manifesto parti pembangkang pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu ‘bukan satu perjanjian’ membuktikan sikap munafik pakatan pembangkang.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor, Dato’ Sohaimi Shahadan berkata, kenyataan Abdul Khalid itu bukan sahaja membuka tembelang Kerajaan Negeri bahkan membuktikan manifesto yang dilaungkan pada pilihan raya umum lalu sehingga berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) di Selangor tidak boleh pakai.

“Abdul Khalid nampaknya sudah masuk perangkap yang diciptanya sendiri dan kata-katanya kitu membuktikan bahawa kerajaan pakatan pembangkang yang diterajui PKR hanya bijak menabur janji termasuk memberikan bulan dan bintang  tidak boleh dipercayai lagi.

Rakyat perlu membuka mata pada pilihan raya umum akan datang kerana setiap janji manis yang dizahirkan melalui manifesto pembangkang tidak lebih daripada sekadar ‘gula-gula’ untuk menarik sokongan rakyat semata-mata,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini di sini.

Tambahnya, manifesto adalah  penyataan umum atau deklarasi yang digunakan oleh seseorang atau parti politikyang bertanding pada pilihan raya umum sebagai dasar perjuangan bagi menarik sokongan pengundi.

Melalui manifesto, calon atau parti politik yang bertanding akan dinilai oleh pengundi sama ada orang yang mereka pilih itu nanti akan dapat membawa perubahan atau kemajuan kepada mereka dan merupakan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Manifesto yang digariskan itu perlu dilaksanakan sebagai membuktikan kewibawaan dan kredibiliti  individu atau parti politik yang menang kerana kerana manifesto itulah mereka mendapat undi rakyat.

Daripada kenyataan yang diberikan oleh Abdul Khalid secara terbuka itu, jelas manifesto pakatan pembangkang  yang kononnya memperjuangkan ‘Negeri Berkebajikan’ itu hanya retorik semata-mata dan mereka tidak rasa bersalah sedikit pun  kerana membohongi rakyat.

Bukan sahaja isu air percuma, bahkan banyak lagi janji-janji yang terdapat dalam manifesto pakatan pembangkang masih tidak tertunai dan mereka tidak pernah peduli dengan janji-janji itu, apa lagi untuk melaksanakannya kerana kemaruk kuasa,” ujarnya yang juga EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Tambahnya, kerana itu tidak hairan jika sekiranya mereka setiap hari menaburkan janji baru yang tidak munasabah kerana mereka sudah pasti tidak akan menunaikannya, malah sikap berbohong memang telah ada pada diri pemimpin sejak dulu lagi.

Jika Abdul Khalid tidak mampu melaksanakan apa yang telah termaktub dalam manifesto pilihan raya, beliau boleh letak jawatan kerana terbukti Menteri Besar Selangor hari ini seorang yang tidak bertanggungjawab dan menipu rakyat.

“Rakyat Selangor tidak memerlukan seorang pemimpin yang suka bercakap bohong dan tidak bertanggungjawab terhadap janji-janji yang dilafazkan. Abdul Khalid juga tidak layak menjadi menjadi Menteri Besar kerana tidak bertanggungjawab untuk menunaikan janji kepada rakyat.

Ini berbeza dengan kerajaan BN yang bertanggungjawab dengan setiap janji dalam manifesto dengan berusaha untuk menunaikannya seperti mana tema Hari Kebangsaan iaitu ’55 Tahun Janji Ditepati’.

Rakyat yang waras perlu menilai semula kepimpinan pakatan pembangkang di negeri ini dan kita perlu menolak mereka pada pilihan raya umum  yang lalu kerana mereka bukan kerajaan yang amanah dalam melaksanakan janji-janji pilihan raya,” tambahnya lagi.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment