Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dicabar
meletak jawatan sekiranya tidak berjaya mengambilalih Syarikat Bekalan Air
Selangor Sdn Bhd (Syabas) menjelang September nanti, sepertimana yang beliau
janjikan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar
berkata sebagai seorang tokoh korporat, Abdul Khalid seharusnya lebih tahu
tentang proses pengambilalihan syarikat.
“Kita tunggu dan kita takkan kacau, kita biar dia uruskan. Tapi
kalau tak boleh ambil alih juga beliau harus letak jawatan,” katanya kepada
pemberita selepas melancarkan papan seranta awam atas talian kedua Draf Rang
Undang-Undang Kebajikan Haiwan, di pejabatnya di sini, hari ini.
Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor
berkata pada masa yang sama Abdul Khalid juga tidak boleh menghalang projek
Loji Rawatan Air Langat 2 daripada diteruskan, kerana sama ada pengambilalihan
itu berjaya atau tidak, rakyat Selangor tetap memerlukan bekalan air bersih.
Beliau berkata kerajaan pusat bertolak ansur sebelum ini dengan
membelanjakan sejumlah RM600 juta untuk projek-projek mitigasi air di Selangor
bagi mengelakkan krisis air, termasuk membina loji Sungai Labu dengan kos RM298
juta untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air di sekitar Sepang.
“Kerajaan negeri masih berfikiran seperti pembangkang dan ini akan
merugikan negeri itu sendiri. Mereka sepatutnya berfikir seperti kerajaan yang
sentiasa mencari jalan untuk membela nasib rakyat,” katanya.
Mengenai Loji Rawatan Air Langat 2, Noh berkata kerajaan masih
akan memohon kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk pembinaan tersebut
memandangkan ia terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan itu.
Beliau berkata permohonan sebelum ini bukannya ditolak MPKj,
tetapi ditangguhkan namun tidak diketahui tempoh masanya.
“Pada masa yang sama tender untuk pembinaannya akan dikeluarkan,”
katanya.
Mengenai penyaluran air dari Pahang, Noh berkata kerajaan pusat
melantik konsultan yang mengambil masa tujuh tahun untuk membuat kajian dan
perancangan mengenai cara terbaik untuk mengatasi krisis air di Selangor
termasuk dengan cara tersebut.
Beliau berkata ia berbeza dengan kerajaan Selangor yang
mengutarakan cadangan terlebih dahulu sebelum melantik konsultan untuk membuat
kajian mengenainya.
0 Komen