Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Noh Omar
membidas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berdolak-dalik dan
masih gagal memberi penjelasan berhubung tindakan menjemput Datuk Seri Anwar Ibrahim
pada sambutan malam ambang merdeka peringkat negeri baru-baru ini.
Beliau berkata kenyataan Abdul Khalid bahawa Ketua Pembangkang itu
hadir sebagai tetamu jemputan dan bukannya tetamu kehormat jelas menunjukkan
Abdul Khalid keliru dan tidak memahami protokol sambutan kemerdekaan serta
peranannya dalam kerajaan negeri.
“Kalau dipanggil sebagai tetamu jemputan, kenapa Anwar perlu
memberi ceramah pada sambutan ambang kemerdekaan?
“Kedua-dua menteri besar dan Anwar tidak faham peranan mereka pada
majlis itu iaitu sama ada sebagai tetamu, penceramah atau perasmi, dan ini
menunjukkan kerajaan pakatan pembangkang Selangor ketika ini berada dalam
keadaan ‘caca-marba’,” katanya.
Noh bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan alat tulis
kepada pelajar di kawasan Parlimen Tanjong Karang yang bakal menduduki
peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.
Noh mengulas kenyataan Abdul Khalid semalam bahawa tindakan
kerajaan negeri menjemput Anwar menghadiri sambutan malam ambang Kemerdekaan
ke-55 baru-baru ini adalah sekadar tetamu jemputan untuk memberi ceramah, dan
bukan sebagai tetamu kehormat.
Beliau turut menuntut penjelasan Abdul Khalid sama ada program itu
merupakan program rasmi kerajaan negeri atau program politik apabila menjemput
Anwar yang tidak memegang apa-apa portfolio rasmi dalam kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas
Tani, berkata beliau akan melawat China dari 19 hingga 22 September untuk
menandatangani draf protokol syarat kemasukan sarang burung walit ke negara
China.
Beliau akan turut mengunjungi Vientiane, Laos untuk membincangkan
isu berkaitan pertanian di negara anggota Asean.
0 Komen