Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan
belanjawan negara bagi tahun 2013 pada hari Jumaat 28 September.
Ini merupakan bajet yang ke empat yang dibentangkan di Dewan
Rakyat sejak memegang tampuk pentadbiran negara pada April 2009.
Walaupun ramai yang mengatakan ini adalah bajet pilihan raya
kerana ini adalah bajet terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 yang bakal
diadakan bila-bila masa sahaja dari sekarang hingga April tahun depan, namun
bagi kerajaan Barisan Nasional ia adalah sana sahaja, samada pilihan raya atau
tidak.
Program serta projek pembangunan bagi kesejahteraan rakyat dan
kemakmuran negara perlu diteruskan walaupun rakyat bakal memilih parti mana
yang bakal menerajui kerajaan untuk tempoh lima tahun akan datang.
BN sentiasa yakin sokongan padu rakyat kerana ia tidak perlu
berbohong mengenai rekodnya yang cemerlang jika dibandingkan dengan
pembangkang.
Sebab itu tidak salah kalau Perdana Menteri memberi lebih tumpuan
kepada kebajikan rakyat dan pertumbuhan ekonomi dalam belanjawan kali ini.
Malah jika belanjawan kali ini pro-rakyat adalah kerana itulah
yang dijanjikan oleh Datuk Seri Najib ketika melancarkan slogan pentadbirannya
yang mendahului rakyat dalam segala aspek program pembangunan negara.
Setakat ini Perdana Menteri telah menepati segala janjinya yang
dibuat kepada rakyat ketika melafazkan sumpah jawatan dahulu.
Inilah yang menjadi jurang perbezaan yang amat ketara antara
kerajaan BN dan pembangkang yang menamakan diri mereka Pakatan Rakyat.
Jika dilihat daripada kemelut air yang berlanjutan di Selangor,
kegagalan kerajaan negeri PAS Kelantan membekalkan air bersih kepada rakyat,
usaha menumbangkan Menteri Besar PAS oleh anggota Exco daripada parti sendiri
dan sikap rasis, sombong dan bongkak yang ditunjukkan oleh DAP di Pulau Pinang,
tidak silap kalau dikatakan pembangkang hanyalah satu pakatan untuk menipu
rakyat.
Sementara kerajaan BN di bawah Datuk Seri Najib mengorak langkah
dan menyusun strategi rapi untuk meningkatkan tahap pendapatan rakyat dan
negara di tahun-tahun mendatang, Ketua Pembangkang pula tidak segan silu
menabur janji-janji manis yang beliau sendiri tahu tidak mampu di tepatinya.
Ambil sahaja contoh janji-janji yang dibuat Anwar untuk meraih
undi antaranya menurunkan harga petrol, menjanjikan pendidikan percuma,
menghapuskan PTPTN, menurunkan harga kereta dan terakhir menjanjikan rumah
mampu milik kepada rakyat.
Memang bunyinya sedap didengar dan apabila dibaca janji-janji ini
di dalam kitab mereka yang dinamakan Buku Jingga, ada juga yang terpikat dan
terpangaruh.
Namun hakikatnya adakah semua janji yang dibuat pembangkang
praktikal kepada rakyat dan menguntungkan ekonomi negara dalam jangka masa
panjang?
Umpamanya Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli ingin menjadi juara
kereta murah.
Jika kereta murah memang berduyun-duyun rakyat daripada setiap
lapisan masyarakat mungkin akan mampu memiliki kereta idaman mereka tetapi
bagaimana pula dengan perancangan untuk mengurangkan kesesakan dan juga
kemalangan.
Jika jumlah kereta sudah sesak di jalan raya, kerajaan terpaksa
pula membina lebih banyak jalan dan lebuh raya untuk mengatasi kesesakan.
Tol pula perlu dikenakan di lebuh raya baru oleh syarikat konsesi
untuk tempoh beberapa dekad.
Rakyat kini merungut kerana di kebanyakan kawasan perumahan tempat
meletak kereta tidak mencukupi.
Sudahkah Rafizi memikirkan bagaimana mengatasi masalah tempat
parkir yang amat terhad jika cadangan beliau itu menghasilkan lambakan kereta
yang tidak terkawal?
Contoh yang mudah ini sudah cukup untuk membuat rakyat faham
bahawa pembangkang tidak mampu menjana penyelesaian kepada masalah yang
dihadapi samada sosial, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.
Anwar hanya menyediakan alternatif bukannya penyelesaian - jika
harga petrol kini didakwa tinggi, beliau hanya mengambil jalan mudah dan
populis dengan berjanji untuk menurunkan harga.
Begitu juga dengan PTPTN - jika kini pinjaman diberikan kepada
ribuan pelajar kolejm dan universiti, Anwar hanya mengambil jalan mudah untuk
menghapuskan segala hutang PTPTN dan menjanjikan pendidikan percuma.
Persoalannya adakah pernah Anwar menerangkan walaupun sedikit
kepada rakyat cara mana atau mekanisma cadangan-cadangan beliau atau yang
terdapat di dalam Buku Jingga ingin dilaksanakan?
Bagi kerajaan BN pula, setiap dasar, program dan projek
pembangunan yang hendak dijalankan telah melalui satu proses penilaian yang
ketat supaya apabila dilaksanakan kelak menepati tujuan dan matlamat.
Bukannya seperti program air percuma Pakatan Rakyat di Selangor
tetapi akhirnya rakyat sendiri yang menyaman kerajaan negeri kerana tidak mampu
menunaikan janji.
0 Komen