Karnival Kerjaya “BN Youth Job Fair” Di Sandakan, 22-23 September Ini



Karnival kerjaya terbesar “BN Youth Job Fair” di negara ini akan kembali dianjurkan di negeri Sabah pada 22 dan 23 September 2012 bertempat di Harbour Mall, Sandakan, Sabah.

Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Nazir Hussain Akhtar Hussain berkata, pada tahun lalu ianya dianjurkan di Kota Kinabalu tetapi pada tahun ini karnival yang sama diterbangkan ke Sandakan, Sabah kerana mengambil kira keperluan dan permintaan rakyat di negeri Sabah khususnya golongan muda di Sandakan. YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman akan menyempurnakan majlis perasmian program ini pada hari pertama karnival.

“Negeri Sabah merupakan destinasi kedua BN Youth Job Fair 2012 selepas Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan Mei yang lalu. Pada kali ini, BN Youth Job Fair terdapat sedikit kelainan dengan beberapa penambahbaikkan dalam pengisian penganjuran bagi memenuhi keperluan dan minat golongan muda negara ini.  Peluang yang diberikan bermula dari lepasan SPM hingga ke peringkat tertinggi termasuk yang mempunyai pengalaman bekerja.

Penganjuran, BN Youth Job Fair 2012 mendapat kerjasama yang cukup baik oleh pihak Kementerian, agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat GLC, syarikat multinasional dan syarikat-syarikat korporat. Antara Kementerian dan syarikat yang akan menyertai karnival di Sandakan  ialah Bahagian Francais Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK), MARA, PETRONAS, Brandt International dan banyak lagi yang bakal menawarkan hampir 7,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat di Sandakan dan seluruh Sabah,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Tambahnya, untuk warga Sandakan, BN Youth Job Fair 2012 ini menjadi lapangan yang cukup baik kerana kita menekankan peluang-peluang pekerjaan yang sebahagian besarnya ditawarkan untuk berkhidmat di kawasan berkenaan sahaja. Ini memberi kemudahan yang cukup baik agar tiada berlaku penghijrahan golongan muda untuk bekerjaya.

Jika, diimbas dalam penganjuran yang sama pada tahun lalu di negeri Sabah, sebahagian besar pengunjung berjaya mendapat peluang pekerjaan mengikut bidang dan kemahiran serta kelayakan yang mereka ada.  Saya yakin dan percaya penganjuran di Sandakan ini akan memberi manfaat sepenuhnya kepada seluruh warga Sandakan dan Sabah amnya dalam memperolehi peluang pekerjaan dan peluang-peluang yang ditawarkan sebagai kunci kejayaan membina masa hadapan yang lebih sejahtera dan berjaya.

“BN Youth Job Fair 2012 di Sandakan ini juga memperlihatkan bahawa peluang-peluang pekerjaan di negeri Sabah adalah banyak dan pelbagai. Ini semua terhasil di atas kebijaksanaan kerajaan negeri Sabah mengurus ekonomi serta membawa pelaburan yang berterusan ke negeri ini.

Oleh yang demikian, saya mengharapkan seluruh warga Sandakan dan Sabah serta golongan pencari kerja yang tinggal berdekatan dapat meluangkan masa hadir untuk merebut peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan melalui BN Youth Job Fair ini yang dianjurkan selama dua hari pada 22 dan 23 September 2012 bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang di Harbour Mall, Sandakan.

Suka untuk saya mengingatkan kepada pengunjung-pengunjung yang akan datang supaya bukan hanya membawa resume yang lengkap malah apa yang lebih menjadi keutamaan adalah untuk mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal. Rebutlah peluang serta kemudahan yang diberikan ini sebaiknya dengan usaha dan kesungguhan bagi meyakinkan majikan-majikan yang hadir kerana temuduga secara terus turut diadakan. Kami mensasarkan, lebih dari 80% peluang pekerjaan yang ditawarkan di Sandakan ini dapat diisi melalui penganjuran karnival ini,” tambahnya lagi.

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

114 Komen

Post a Comment