Langat2: Rakyat Terus Dianiaya Dengan Dolak-Dalik MB Selangor


Rakyat di Negeri Selangor akan terus dianiaya dengan keengganan Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk meluluskan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) atas alasan bahawa bekalan air untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencukupi sehingga 2019 sedangkan realitinya adalah sebaliknya.

Yang Dipertua Majlis Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Negeri Selangor, Tan Sri Datuk Seri Dr Abu Hassan Omar menegaskan bahawa alasan yang diberikan oleh MB adalah satu helah untuk tidak mempersetujui apa saja program atau agenda kerajaan Pusat yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN).

“Sudah menjadi kebiasaan kepada pakatan pembangkang termasuklah Kerajaan Negeri Selangor yang akan membangkang apa saja perancangan BN selaku kerajaan Pusat untuk dilaksanakan walaupun ia pada dasarnya bukanlah untuk kepentingan politik tetapi melibatkan keperluan rakyat yang sentiasa memerlukan pembelaan,” katanya.

Abdul Khalid mempersoalkan sikap kerajaan pusat yang mendahulukan projek loji rawatan itu seolah-olah ia amat penting dalam menyelesaikan masalah perkhidmatan air di Selangor.

“Air merupakan keperluan utama kepada rakyat dan hasil laporan didapati bahawa margin simpanan air akan habis pada tahun 2014. Sekiranya tindakan segera tidak diambil maka jelas bahawa kerajaan pakatan pembangkang hendak menganiaya rakyat dengan tidak memberi kebenaran untuk pembangunan yang akan memberi faedah kepada semua.

“Tindakan sedemikian tidak sewajarnya dilakukan apatah lagi oleh seorang pemimpin yang kononnya mahu membela rakyat sedangkan telah terserlah bahawa mereka bukanlah kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya lagi.

Ujarnya, pakatan pembangkang telah terserlah dengan sikap mereka yang akan menjadikan apa saja perkara sebagai isu untuk dipropagandakan kepada rakyat.

“Isu berkaitan air adalah salah satu perkara yang diketengahkan biarpun kerajaan Pusat berusaha untuk menanganinya tetapi kerajaan pakatan pembangkang menjadikannya bahan politik dan apabila ia gagal dilaksanakan dan rakyat mendapat masalah maka mereka akan lepas tangan dan tuding jadi pada BN.

“Rakyat seharusnya memberi kata dua kepada pakatan pembangkang kerana mereka bukan saja gagal melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat tetapi juga mensensasikan keperluan masyarakat untuk populariti mereka sendiri,” tegasnya lagi.

Sebagai persedian mengelakkan berlakunya bekalan air yang tidak mencukupi maka inisiatif oleh kerajaan Pusat adalah melaksanakan beberapa pelan mitigasi dan pelan jangka panjang menerusi Skim Bekalan Air Mentah dari Pahang ke Selangor yang turut merangkumi Projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Sekiranya pembinaan loji Langat 2 tidak dapat disiapkan pada 2014, keseluruhan Skim Bekalan Air Mentah Pahang ke Selangor tidak dapat beroperasi dan ini akan mengakibatkan penduduk di tiga wilayah berdepan dengan krisis air pada 2014.

-UMNO-Online

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment