NGO Selangor Desak Pihak Berkuasa Bertindak Tegas


Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor hari ini tampil membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam insiden memijak gambar Perdana Menteri dan mempamerkan bendera baru bagi menggantikan Jalur Gemilang termasuk individu yang menunjukkan punggung ke atas gambar Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilaporkan semasa sambutan ambang ulang tahun Hari Kemerdekaan di Dataran Kemerdekaan di Kuala Lumpur pada malam Khamis lalu.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin yang mengetuai laporan polis di Balai Polis Seksyen 6, di sini kira-kira pukul 3 petang tadi turut mendesak mendesak Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan 1948, dengan tindakan pihak berkuasa melucutkan kerakyatan terhadap mereka yang didapati melakukan perbuatan berkenaan.

“Kita mahu pihak berkuasa tidak memandang ringan mengenai insiden tersebut yang merupakan perbuatan yang biadap yang mencetuskan kemarahan rakyat di negara ini.

"Insiden yang berlaku dalam sambutan berkenaan (memijak gambar Perdana Menteri dan mempamerkan bendera baru) adalah satu tindakan yang melampaui batas. Mereka yang terlibat itu seolah-olah satu cubaan untuk menghasut orang ramai mencabar kedaulatan negara ini.

"Kita merasakan tindakan sedemikian satu perbuatan jahat yang ancaman kepada kedaulatan negara selain menjejaskan keharmonian di kalangan rakyatnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain GAPS, antara NGO yang turut membuat laporan polis itu ialah Waris Malaya, Majlis Belia Petaling dan Majlis Belia Klang.

Sementara itu, bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong turut menyifatkan insiden tersebut satu perbuatan yang boleh mencetuskan sentimen perkauman di kalangan rakyat.

Katanya, masyarakat Cina yang turut sama dalam insiden berkenaan yang berlaku dalam Himpunan Janji Bersih itu sepatutnya sensitif mengenai tindakan tersebut serta tidak ghairah untuk mencapai kepentingan politik tertentu.

"Masyarakat Cina yang terlibat dalam perhimpunan itu sepatutnya menghormati sensitiviti antara kaum dan berpegang kepada prinsip perpaduan dan keharmonian di negara ini. Tindakan memijak gambar Perdana Menteri adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

"Saya khuatir, tindakan sedemikian boleh mencetuskan isu perkauman yang boleh memburukkan lagi keharmonian antara rakyat di negara ini. Tidak kira sesiapa pun pemimpin, mereka adalah dipilih majoriti rakyat dan seharusnya kita hormati," katanya yang turut agar tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang terlibat.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.