Antara sifat
semulajadi sesebuah parti politik ialah kegemarannya menerima keahlian daripada
parti seteru.
Ini berlaku
atas beberapa sebab samada ahli tersebut telah dipecat atau melompat kerana
tidak bersetuju dengan parti yang dianggotainyya sebelumnya.
Kadangkala
parti yang ditinggalkan berasa lega kerana anggota yang menjadi 'katak'
berhijrah ke parti yang lain itu sebenarnya bertindak sebagai duri dalam daging
selama ia berada sebagai ahli parti tersebut.
Bagi parti
tersebut tindakan itu adalah sebagai satu rahmat baginya kerana masalah ahli
yang sentiasa khianat dan tidak setia kepada perjuangan dapat diselesaikan.
Namun bagi
parti yang menerima ahli daripada parti lawannya juga menganggapnya sebagai
satu rahmat pula walaupun mengetahui anggota tersebut tidak mempunyai sifat
yang boleh dibanggakan.
Dalam
keadaan begini penerimaan anggota daripada parti lain itu lebih berlandaskan
kepada perasaan ego kerana kononnya ia berjaya merampas ahli parti lain.
Lebih-lebih
lagi ahli tersebut pernah menduduki jawatan yang tinggi samada dalam barisan
kepimpinan tertinggi parti atau menjadi bekas menteri atau timbalan menteri.
Tindakan itu
dilihat memberi kelebihan atau pengaruh tambahan kepada parti yang menerima
ahli tersebut.
Senario
inilah yang sedang berlaku di kalangan parti-parti pembangkang yang menyertai
Pakatan Rakyat.
Kebelakangan
ini PKR yang diterajui oleh Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum dan juga Ketua
Pembangkang merasa agak teruja menerima kehadiran beberapa tokoh Umno sebagai
ahli baru.
Antara
paling awal menyertai PKR adalah bekas anggota Kabinet, Chua Jui Meng dan dua
bekas timbalan menteri, Dr Tan Kee Kwong dan Dr Tan Yee Kew.
Terbaru PKR
mendakap pula bekas Bendahari Umno Sabah, Ibrahim Menudin serta seorang lagi
bekas timbalan menteri, Yahya Lampong.
Sebelum itu
bekas menteri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dilihat berjinak-jinak dengan Anwar
dengan tujuan untuk menjadi calon PKR pada PRU-13 nanti tetapi apabila tidak
layan beliau terus menubuhkan sebuah parti baru bernama Parti Ikatan Bangsa
Malaysia atau Ikatan.
Kira-kira
dua bulan lalu, dua orang ahli parlimen Barisan Nasional, Lajim Ukin dan
Wilfred Bumburing juga keluar parti tetapi tidak menyertai mana-mana parti
pembangkang.
Sebaliknya
Lajim yang juga bekas timbalan menteri
mengasaskan sebuah NGO yang dinamakan Pakatan Angkatan Rakyat (PPS)
tetapi kini bercadang menubuhkan sebuah parti politik baru pula.
Sementara
itu Wilfred yang serentak keluar BN bersama Lajim pada 29 Julai lalu, berpuas
hati dengan menubuhkan satu pergerakan politik yang dikenali sebagai Barisan
Pembebasan Sabah atau Sabah Reform Front.
Disember
tahun lalu juga memperlihatkan bekas naib presiden PKR, Dr Jeffrey Kitingan
membentuk Barisan Borneo Bersatu (UBF) yang merupakan kerjasama antara Sabah
dan parti-parti yang berpangkalan di Sarawak.
PAS juga
tidak ketinggalkan menerima ahli baru daripada parti lain umpamanya bekas ahli
parlimen Tamrin Ghafar.
Tamrin
pernah menjadi pengasas gerakan anti liwat menentang pada 1999 untuk menentang
Anwar tetapi kini selesa bersekongkol dengan individu yang membungkus karier
politik ayahnya, Ghafar Baba pada tahun 1993.
Selain itu
PAS amat gembira menerima kehadiran beberapa bekas penjawat awam dan juga
daripada golongan artis.
DAP tidak
berapa berjaya menarik tokoh terkenal disebabkan sifat chaunivis Cina yang
menebal di dalam parti itu.
Antaranya
bekas tokoh Transparency International, Tunku Aziz Tunku Ibrahim yang dilantik
sebagai naib presiden dan Senator tetapi keluar parti tidak berapa lama
kemudian.
Anwar dan
pemimpin pembangkang beranggapan mereka yang melompat daripada Umno atau BN
boleh menyuntik semangat baru kepada mereka.
Hakikatnya
andaian itu meleset sama sekali kerana mereka yang terjun kepada pembangkang
sudahpun menjadi 'spent force' atau pengaruh yang luput di dalam parti mereka
sebelum ini.
Hampir
kesemua mereka sudah tidak lagi aktif atau mempunyai pengikut apa lagi pengaruh
sementara di segi kekuatan fizikal tergolong dalam usia emas.
Anwar
sebenarnya ingin terus menipu rakyat dengan mengatakan pakatan pembangkang
berjaya menarik tokoh-tokoh Umno-BN walhal sebenarnya mereka hanyalah terdiri
daripada 'ayam pencen' yang sudah liat dagingnya dan bercita-cita untuk
menghidupkan semula kerjaya politik mereka yang sudah hampir lenyap.
0 Komen