Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
telah membuat lawatan dan tinjauan ke Empangan Sungai Selangor di Kuala Kubu
Bharu untuk melihat sendiri selain mendapatkan maklumat, betapa seriusnya isu
kekurangan air di negeri Selangor.
Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan berkata, rakyat
Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin kerana
mengambil satu langkah yang positif untuk membantu rakyat Selangor dalam
menangani masalah air ini.
“Dalam taklimat yang diberikan kepada Tan Sri dan delegasi yang
datang pada hari tersebut, kita sedar dalam masa 130 hari (bermula dari 24
Oktober), paras takungan air di empangan tersebut berada di dalam keadaan yang
sangat kritikal. Kemungkinan besar tidak ada air lagi.
“Ini merupakan fakta yang telah diberikan oleh pihak Syarikat
Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), bukan fakta yang dikeluarkan
oleh parti politik. SPLASH merupakan agensi yang diberikan kuasa untuk menjaga
kepentingan air di negeri Selangor. Mereka sendiri yang mengatakan bahawa dalam
masa 130 hari, paras takungan air di Empangan Sungai Selangor akan berada di
tahap yang paling kritikal,” ujarnya ketika di temui di lobi parlimen baru-baru ini.
Tambahnya, pendedahan ini merupakan satu perkara yang serius namun
kerajaan Selangor terus selesa untuk bermain politik.
“Ini baru soal air, belum lagi dalam soal skim merawat air. Kalau
empangan dah kosong, nak rawat air macam mana? Saya harap kerajaan negeri
Selangor peka dan jangan gunakan isu ini sebagai isu politik semata-mata untuk
memenangi undi. Ini perkara yang nyata, orang Kuala Kubu Bharu nampak empangan
ini setiap hari, kita nampak realiti paras air empangan ini kosong, jadi tak
perlu nak dipolitikkan.
“Apa yang lebih mengejutkan ialah kenyataan Tan Sri Khalid
Ibrahim, Menteri Besar yang mengatakan Selangor tidak mengalami masalah
kekurangan air. Dia tak pernah sampai pun ke empangan tersebut, dia cakap
berdasarkan apa, saya pun tak tahu,” ujarnya lagi.
Justeru beliau berharap Menteri Besar Selangor sedar, jangan
angkuh dan terima hakikat bahawa Selangor akan mengahadapi krisis air pada
tahun 2014.
Dalam masa yang sama, Kamalanathan melihat teknologi membran yang
diutarakan Tan Sri Khalid merupakan satu teknologi yang baru, tetapi dalam masa
yang sama, kerajaan Persekutuan telah menyediakan projek Langat 2 untuk membuat
rawatan air.
“Kita hanya perlukan kelulusan dan kerjasama kerajaan negeri
Selangor untuk membantu mengatasi masalah air ini. Kita harus melaksanakan
projek ini kerana kebaikan bukan sahaja kepada rakyat negeri Selangor, malah
kepada penduduk Lembah Klang secara keseluruhannya,” ujarnya mengharapkan agar
Tan Sri Khalid tidak lagi mempolitikkan isu air ini.
0 Komen