Pergerakan Pemuda UMNO baru-baru ini telah
mengadkan lawatan sambil beramal di Ho Chi Minh City, Vietnam. Lawatan ini
diketuai pengerusinya, Dato’ Sohaimi Shahadan dan delegasi seramai 30 orang.
Kunjungan Sohaimi dan anggota rombongan ke Ho Chi Minh City adalah
untuk menyerahkan sumbangan al-Quran, muqaddam, telekung dan sejadah untuk
digunakan oleh jemaah Masjid Jamia Musulman dan diagih-agihkan kepada masjid
serta surau yang terdapat di bandar itu.
Program tersebut anjuran Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan
Pemuda Umno dengan kerjasama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia
(Perdasama).
Pengerusi Masjid Jamia Musulman, Mohd Amin Yahya berkata, terdapat
sekitar 7,000 penduduk yang beragama Islam di Ho Chi Minh City.
"Walaupun penduduk Islam adalah minoriti namun syariatnya
semakin berkembang," kata lelaki yang mengakui berketurunan Jawa ini.
Menurutnya, kebanyakan orang Islam di Vietnam adalah berbangsa
Champ dan boleh berbahasa Melayu, cuma mereka tidak tinggal dalam satu kelompok
yang tersendiri.
Masjid ini dibina pada sekitar tahun 1935 oleh pedagang dari India
pada zaman pemerintahan Perancis.
Justeru tidak hairanlah jika masjid ini turut dikenali sebagai
'Masjid India' dan terbesar di bandar tersebut.
Walaupun keluasannya tidak sebesar mana namun persekitarannya
bersih dan terpelihara serta tenang bagi sesiapa yang melawatnya.
Ruang solat terbahagi kepada dua iaitu di sebelah kanan merupakan
ruang solat bagi jemaah lelaki, manakala sebelah kiri adalah ruang solat untuk
wanita.
Terdapat satu kolah mengambil wuduk yang dibina di sebelah kanan
masjid.
Selepas pedagang India meninggalkan Ho Chi Minh City pada tahun
1975, masjid tersebut diserahkan kepada masyarakat Islam tempatan untuk
menguruskannnya.
Sehingga kini, masjid tersebut menjadi ikon syiar Islam di Ho Chi
Minh City sebagai salah satu tempat beribadah paling popular di tengah-tengah
kesibukan kota.
Kawasan sekeliling masjid pula dijadikan tempat tinggal beberapa
penduduk Islam dengan membina rumah-rumah kecil.
Di hadapan masjid itu terletak restoran yang cukup popular kepada
pelancong yang menyajikan makanan halal iaitu Restoran Halal Saigon yang
dimiliki rakyat Malaysia.
Imam Masjid Jamia, Abdul Azim Ishak yang fasih berbahasa Melayu
berkata, Islam di Ho Chi Minh City mengamalkan mazhab yang sama di Malaysia
iaitu mazhab Syafie.
“Di sini Islam banyak dipengaruhi oleh masyarakat Islam dari
Pattani, Thailand dan ada yang datang dari Kelantan yang dahulunya merupakan
masyarakat Cham,” katanya.
Sebagai kaum minoriti di bumi sendiri, Abdul Azim mengakui,
sememangnya banyak perbezaan cara mengamalkan Islam itu sendiri.
Islam sebagai minoriti banyak kekurangannya dan terpaksa bersaing
untuk survival komuniti yang kecil dalam kelompok majoriti agama lain.
"Di sini, laungan azan tidak dibenarkan menggunakan pembesar
suara, namun ia tidak bermakna tidak akan ada orang datang berjemaah setiap
hari,” ujarnya.
Biarpun senario Islam di Vietnam amat berbeza dengan di Malaysia,
namun ketika solat Jumaat kata Abdul Azim, lebih daripada 1,000 jemaah bakal
memenuhi ruang solat masjid.
"Namun masjid ini tidak mendapat sebarang peruntukan daripada
kerajaan. Kami hanya bergantung kepada derma daripada jemaah dan orang ramai.
"Kami berharap ada pihak-pihak yang prihatin daripada
Malaysia untuk menghulurkan sumbangan wang untuk memberi saguhati kepada guru
yang mengajar al-Quran di masjid ini," katanya.
Projek kedua selepas Kemboja
SEMENTARA itu Sohaimi berkata, usaha menyebarkan syiar Islam bukan
sahaja dilakukan di negara ini, malah, turut diperluaskan ke luar negara
terutama kepada masyarakat minoriti Islam yang miskin.
Katanya, penyerahan al-Quran, muqaddam, telekung dan sejadah
kepada umat Islam di Vietnam adalah kesinambungan projek di Kemboja pada tahun
lalu.
"Sebanyak 1,000 naskhah diagihkan pada kunjungan kali ini.
Barangan yang diserahkan ini adalah sumbangan yang kita kumpulkan daripada
penyumbang-penyumbang rakyat Malaysia yang prihatin," katanya.
Sebelum ini Pemuda Umno dan Perdasama dengan kerjasama Yayasan
Restu telah menyerahkan sumbangan sebanyak 10,000 naskhah al-Quran kepada
masyarakat Islam di Kemboja dan menubuhkan sebuah maahad tahfiz.
Sohami yang juga Pengerusi Biro Perdasama Muda berkata, ini adalah
sebahagian daripada sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin dan bersimpati
dengan nasib saudara seagama yang memerlukan bantuan.
“Usaha ini mendapat sokongan masyarakat Islam yang prihatin dengan
nasib golongan Islam yang menjadi minoriti di negara lain. Biro Ekonomi dan
Pembangunan Usahawan Pemuda Umno akan menubuhkan tabung khas untuk membantu
Islam di Ho Chi Minh City ini," katanya.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya masih memerlukan sumbangan orang
ramai bagi merealisasikan hasrat menjayakan program berkenaan dan
mengalu-alukan kesudian syarikat serta badan perseorangan untuk memberikan
derma wang ringgit ataupun al-Quran.
“Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian
dengan hadir sendiri ke ibu pejabat Perdasama di 1717, Jalan Ledang Off Jalan
Duta. Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Maybank, bernombor 162740135601
atas nama Program Wakaf Quran,” katanya.
Sumbangan itu katanya, untuk kegunaan masjid dan pembangunan
masyarakat Islam di Vietnam.
Sohaimi turut membayangkan untuk meneruskan program ini ke
Mindanao di selatan Filipina bagi membantu masyarakat Islam di negara itu
khususnya Bangsamoro.


0 Komen
Post a Comment