Sehingga saat ini rakyat Kelantan masih bingung dan tercari-cari
apa rasionalnya sehingga mendorong Kerajaan PAS Kelantan meluluskan pemilikan
tanah pajakan seluas 10,526 ekar di Gua Musang kepada pemimpin Cina DAP dari
Perak.
Rakyat pribumi sendiri masih dibelenggu masalah hak milik tanah
sekalipun sudah berpuluh tahun membanting tulang meneroka kawasan berkenaan
demi sesuap nasi, alih-alih Cina DAP dari luar pula yang sakan meraih laba
keuntungan sehingga tahun 2092.
Untuk baki selama 79 tahun lagi dari sekarang hak milik pajakan
tanah tersebut terus menjadi milik Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koh Ham dan
sepupunya Nga Kor Min melalui syarikat swasta Upaya Padu sdn Bhd yang baru
mereka ambil alih baru-baru ini.
Soalnya kenapa dan apa jasa pemimpin DAP Perak itu kepada negeri
ini sehinggakan keutamaan pajakan tanah yang luas mata memandang itu hanya dinikmati
oleh mereka? Sedangkan sekelumit manfaat daripada mereka untuk menambah baik
taraf kehidupan rakyat marhaen negeri ini langsung tak kelihatan.
Padahal bukannya tidak ada syarikat berwibawa dan individu
usahawan berkaliber yang terdiri daripada anak Melayu Kelantan yang jika diberi
peluang seperti itu tentu sahaja akan memanfaatkannya demi kebaikan negeri dan
anak watan sendiri.
Kedua-dua pemimpin DAP Perak itu pula bukannya memiliki latar
belakang sebagai usahawan genuine yang berjaya, sebaliknya sekadar pemimpin
politik.
Kalau pun PAS begitu terhutang budi mahu membalas jasa dek kerana
sokongan DAP kepada perlantikan pemimpin PAS Perak, Nizar Jamaluddin sebagai
Menteri Besar Perak tidak berapa lama dulu, bukan begini caranya.
Cukup-cukuplah beribu ekar tanah di Perak diluluskan hak milik
tanah 999 tanah di sana kepada Cina-Cina DAP, buat apa lagi di beri habuan
tanah pajakan berpuluh tahun di Kelantan untuk memuaskan nafsu serakah pemimpin
DAP pula.
Dengan keluasan 10,526 ekar tanah di Kelantan itu yang hampir
menyamai luas Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat di Putrajaya, sekiranya Kerajaan
PAS Kelantan mengikut kaedah penganugerahan hak milik tanah mengikut acuan
FELDA bermakna sekitar 1,000 buah keluarga bakal beroleh manfaat berupa tanah
seluas 10 ekar tiap-tiap keluarga.
Tapi disebabkan kepentingan politik dan dikaburi puncak kuasa yang
tidak pasti, akhirnya tanah yang merupakan amanah rakyat itu hanya memberi
manfaat kepada beberapa kerat politikus dan kroni pemimpin DAP dalam syarikat
itu sahaja.
Lebih menyakitkan hati rakyat bila mana hasil bumi Kelantan berupa
kayu kayan balak yang nilainya berjuta-juta ringgit terus mengalir ke tangan
orang lain. Bagaikan mengulangi sejarah air mata rakyat di awal dekad 1960-an
dan 1970-an dulu di mana hasil bumi negeri di lebih 300,000 ekar tanah menjadi
habuan sebuah syarikat milik Cina Singapura juga melalui kaedah pajakan tanah.
Patutlah lebih 90% para peneroka FELDA di serata tanah rancangan
seluruh negara begitu alergik dengan PAS, tentunya berkait rapat dengan
kebimbangan yang hak milik tanah mereka bakal tergadai atau dipajak kepada Cina
DAP atau Cina SIngapura seandainya PAS diberi muka memijak sesuka hati wilayah
yang mereka pertahankan.
Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh sahaja
mengugut rakyat dengan ancaman tindakan undang-undang dan saman misalnya dalam
usaha untuk menutup kebenaran, namun rakyat tidaklah bodoh untuk terus berdiam
diri membiarkan saja harta benda negeri dan hasil buminya terus mengalir ke
tangan DAP.
Dari Timur ke Barat, dari Utara ke Selatan Kelantan di setiap
jajahan negeri ini ada sahaja suara-suara anak Kelantan yang bangkit menuntut
jawapan konkrit. Kenapa, mengapa dan untuk apa tanah Kelantan dibiarkan menjadi
milik DAP?
Rakyat Kelantan menanti jawapan hari demi hari, namun yang ada
cuma jawapan bersimpang siur daripada Kerajaan Negeri yang terus berbelit
sambil menegakkan benang yang basah.
Jika beginilah gaya PAS memerintah negeri, sikit-sikit pajak
tanah, sikit-sikit tebang balak yang sebahagian besar hasilnya hanya
menguntungkan segelintir manusia haprak sahaja, usahlah menangis tak berlagu
bila PRU 13 tiba kelak rakyat bangkit membuang PAS jauh terperosok ke dalam
longkang.
0 Komen