Krisis Air Selangor: Mereka Hanya Berjanji, Tapi Gagal Uruskan Keperluan Rakyat


Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) hari ini menuntut kerajaan negeri untuk tidak lagi bermain wayang atau memperbaharui janji-janji palsu mereka khususnya dalam pemberian air percuma kepada rakyat negeri Selangor.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kegagalan Selangor mengotakan janji dalam manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum 2008 sebagai ‘senjata makan tuan’ dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

“Jika kita perhalusi satu-persatu janji-janji mereka manifesto pembangkang (sebelum PRU12) di Selangor, mereka gagal kotakan janji. Malah mereka juga kini mengatakan bahawa manifesto bukannya janji.

Contohnya dalam isu air yang melanda Selangor dan Lembah Klang hari ini, GPRS menyifatkan kerajaan negeri bersikap tidak acuh dalam menyelesaikan kemelut tersebut.

Kerajaan negeri seolah-olah tidak serius. Kerajaan persekutuan sudah mewujudkan jawatankuasa khas bagi memantau kemelut air," ujarnya ketika ditemui bagi mengulas kemelut terkini isu air di Selangor dan Lembah Klang.

Tambahnya, pembangkang hanya pandai menabur janji namun gagal melaksanakannya dengan baik.

"Daripada banyak-banyak ini (janji)... apa pun yang dibuat hanya ala kadar.

"Kalau janji nak bagi air percuma, dipilih-pilih. Kalau nak bagi pelajar universiti RM1,000 seorang seperti yang dijanjikan dalam manifesto lalu, akhirnya dia (kerajaan negeri) mengatakan keluarga pelajar yang berpendapatan RM1,500 ke bawah sahaja (yang menerima). Bagaimana pula janji dengan anak-anak di Taska dan bantuan elaun kepada golongan ibu tunggal," tambahnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Selayang.

Dalam masa yang sama, Sohaimi melihat kedegilan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu air ini tidak mustahil akan membawa kepada kesengsaraan berulang kepada penduduk terlibat khususnya di negeri Selangor ini.

”Saya cabar kerajaan negeri untuk membentangkan cadangan utama (master plan) dalam menangani masalah air ini daripada terus berdolak dalih mengeluarkan kenyataan politik  dengan menuding jari menyalahkan pihak lain.

Kita sebagai rakyat negeri Selangor perlu menilai kepimpinan kerajaan negeri yang ternyata gagal memberikan khidmat terbaik lebih-lebih lagi dalam memastikan keperluan asas rakyat mencukupi dan tidak membebankan rakyat,” ujarnya lagi. 
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment