Syabas Di'Kambing Hitamkan': Keputusan Kerajaan Khalid Punya Krisis Air Di Selangor



Menuding jari dan meletakkan Syabas sebagai kambing hitam sebenarnya perlakuan kerajaan negeri Selangor dibawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim, bertujuan jntuk menepis dan mengelak dari dipertangungjawabkan di atas krisis air yang sedang berlaku sekarang ini.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Dato' Sohaimi Shahadan berkata, krisis air sudah lama dijangkakan oleh pakar-pakar air dalam negara yang telah melakukan 'water demand study' semenjak tahun 80an dan 90an lagi dan mengesyorkan beberapa langkah yang perlu kerajaan ambil bagi mengelakkan krisis ini daripada berlaku di Lembah Klang dan antaranya ialah menambah sumber air seperti projek Langat2, Projek Mitigasi 1 dan 2, NRW dan lain-lain kerja penyelerenggaan. Semua kerja-kerja ini memerlukan CAPEX yang besar dalam bentuk pinjaman luar dan dari kerajaam pusat.

"Apabila kerajaan pakatan DAP, PKR dan PAS mengambil alih kerajaan Selangor pada tahun 2008 dan mencadangkan penstrukturan semula industri air di negeri Selangor, telah mengakibatkan pembekuan projek-projek CAPEX ini termasuk projek NRW semenjak Julai 2008 yang mana kerja penukaran atau penyelenggaraan pam air agihan Syabas adalah juga termasuk di dalam kos-kos CAPEX.

Akibatnya kekangan kewangan telah berlaku disebabkan kegagalan mendapatkan sumber kewangan daripada kemudahan-kemudahan kewangan yang telah diatur sebelum ini dan juga sumber kewangan baru disebabkan tindakan pembekuan ini," ujarnya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tong-tong air kepada penduduk Flat Pandan Jaya, sebentar tadi di sini.

Tambahnya, semua permasalahan dan krisis ini telah dijangkakan akan berlaku tetapi telah dihalang oleh kerajaan pakatan Selangor dengan pembekuan CAPEX atas asas 'Mala Fide' untuk menghalang penyelewengan, projek kroni dan lain-lain kononnya.

“Dalam masa yang sama, mereka (kerajaan negeri) mencadangkan penstrukturan semula industri air yang mana cadangan itu hanya tinggal cadangan yang tidak praktikal, tanpa merujuk kepada pakar-pakar air sebenar dan cadangan penstrukturan semula hanya berasaskan keputusan politik semata-mata.

Lembah Klang merupakan kawasan yang mempunyai pertumbuhan penduduk dan pembangunan yang tinggi dan cepat peningkatannya dan semua ini telah dijangkakan. Maka perancangan dan unjuran permintaan air bagi memenuhi kehendak-kehendak ini telah diatur dan dilakukan,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang.

Amat malang sekali akhirnya rakyat telah menjadi mangsa politik kerajaan Pakatan Selangor tanpa memikirkan akibat dan apabila berlaku krisis sebegini, dengan mudah mereka menuding jari menyalahkan orang lain.

“Bagi menghadapi krisis bekalan air, kita difahamkan keupayaan Syabas adalah terhad kepada kemudahan yang sdiaada. Dianggarkan Syabas hanya boleh memberi perkhidmatan kepada lebih kurang 10,000 akaun dalam sesuatu keadaan gangguan bekalan air.

Kerajaan negeri perlu bersedia dengan pelan tindakannya bagi menangani krisis air apabila bilangan pengguna terlibat melebihi kapasiti Syabas, bukan hanya berpolitik sepanjang masa dan menuduh orang lain di atas kesalahan dan kesilapannya dari awal,” tambahnya lagi.

Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

106 Komen

Post a Comment