Ternganga kita dibuatnya apabila Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri
Besar Kedah mengugut Kerajaan Pusat agar membayar RM100 juta setiap tahun
kepada negeri itu sebagai pampasan jika ingin pihaknya menghentikan
penggondolan hutan untuk pembalakan.
Nampak benar, yang Menteri Besar Kedah ini telah benar-benar buntu dalam
usaha menjana pendapatan negeri.
Kata orang, ego biar bertempat.
Jika sudah buntu, dan tak tahu apa-apa, buangkanlah ego itu jauh-jauh,
jika tidak, pasti terserlah kebodohan sendiri.
Tidak apa jika bodoh itu tidak memberi kesan kepada sesiapa, tetapi
masalahnya bodoh seorang Menteri Besar memberi kesan kepada rakyat, malah bumi
Kedah juga.
Jika dulu Azizan begitu lantang menghamun kepimpinan Barisan
Nasional, kononnya bodoh, tidak prihatin dan korup, tetapi setelah diberi
peluang untuk menunjukkan cara kepimpinan yang bijak, prihatin dan telus,
bingunglah pula Azizan jadinya. Kini,
baru beliau tahu bahawa mentadbir negeri memerlukan lebih dari sekadar ijazah
dalam bidang agama dan suara lantang yang gemar menghentam orang.
Sepertimana kaum Arab yang dikurniakan sumber paling berharga di
dunia tetapi tidak mampu menjadi peneraju ilmu dan pemerintah dunia, begitulah
keadaannya di kalangan pemimpin PAS.
Telah dikatakan di dalam AlQuran, bahawa ilmu yang penting adalah ilmu
sains dan matematik dari pengamatan bintang dan cakerawala, gunung ganang dan
lautan mahupun zarah-zarah di dalam udara.
Tetapi mereka tidak mendengarnya, mereka tidak memahaminya walaupun
ramai di antara mereka fasih berbahasa Arab, hatta hafal Al-Quran juga.
Justeru, hari ini kita melihat sendiri apa terjadi apabila
seseorang yang mengaku pakar agama mentadbir macam orang tak ada agama.
Terserlah sikap angkuh, ego, takbur, riak, panas baran dan mengugut sana sini
apabila buntu dan terdesak.
Bukan sahaja kerajaan pusat hendak diugut, tetapi juga kerajaan
sahabat merangkap jiran sendiri, iaitu Pulau Pinang juga turut cuba
diperas. Oleh kerana Pulau Pinang enggan
melayan mimpi Azizan untuk mengenakan caj bekalan air mentah ke negeri itu,
maka Phahrolrazi, exco Kedah telah membuat kenyataan berbaur ugutan iaitu Pulau
Pinang akan mengalami kesukaran jika terus enggan melayan cadangan Kedah.
Malangnya, Pulau Pinang mengambil sikap ‘bo-layan’ sahaja terhadap
ugutan Kedah.
Maka, semakin bingunglah Azizan sehingga sanggup mengambil risiko
memusnahkan alam sekitar dan mendedahkan rakyat kepada risiko kehilangan nyawa
dan harta benda akibat bencana alam dengan berdegil untuk meneruskan pembalakan
haram. Maka, satu-satunya cara untuk
menghentikan kegilaan ini ialah dengan kerajaan pusat membayar sejumlah RM100
juta kepada Kedah.
Persoalannya, sampai bila Azizan boleh mentadbir dengan cara
mengugut?
Kenapakah keadaan sebegini tidak pernah terjadi semasa
pemerintahan BN? Kenapakah walaupun
dikatakan korup, bodoh dan zalim, BN tidak pernah mengambil risiko ke atas
nasib rakyat dan tidak pernah membiarkan kewangan negeri berada dalam keadaan
begitu tenat?
Bagaimana jika kerajaan pusat mengambil keputusan untuk mengugut
Azizan kembali iaitu, jika beliau inginkan RM100 juta itu, maka beliau harus
menjustifikasi dan menangani segala ketirisan dalam kewangan negeri Kedah secara
terperinci terlebih dahulu, bagi memastikan RM100 juta tersebut tidak terbazir
begitu saja.
Atau lebih baik lagi, jika kerajaan pusat mengugut agar Azizan
meletakkan jawatan terlebih dahulu, jika inginkan RM100 juta itu disumbangkan
kepada Kedah.
Atau lebih mudah, mungkin kerajaan pusat boleh mengugut Azizan
agar membuat pengakuan terbuka dan meminta maaf kepada rakyat Kedah kerana
beliau benar-benar tidak tahu bagaimana untuk mentadbir sebuah negeri, sebelum
menyalurkan RM100 juta tersebut kepadanya.
Bagaimana?
Walaupun persoalan ini kelihatan seperti ‘lawak’, kata orang
Kedah, tetapi sebenarnya tiada apa yang lawak mengenainya, malah sedih dan
membimbangkan.
Khabar dari Kedah menyatakan bahawa kewangan Kedah sudah terlalu
sangat meruncing sehinggakan semua program dan perjalanan dibekukan kerana
kerajaan negeri tidak dapat menanggung kos, terutamanya kos minyak.
Mana tidaknya, jika kesemua perbelanjaan negeri bergantung
sepenuhnya kepada pendapatan dari balak semata-mata. Bayangkan, ketika pemerintahan BN pada tahun
2007, balak hanya menjana RM8 juta, tetapi di masa pemerintahan PAS pendapatan
dari balak dalam keluasan yang sama mencanak naik sehingga RM35 juta pada 2008,
RM38 juta pada 2009 dan RM53 juta pada 2010?!
Kini balak-balak hampir habis, sehinggakan hutan simpan kekal juga
gondol dikerjakan PAS Kedah sedangkan di masa yang sama kesemua anak-anak
syarikat dan projek-projek negeri mengalami kerugian dan masih lagi menjana
kerugian kerana ketidakcekapan, ketidaktelusan dan ‘ketidak-tahuan’ para
pegawai yang dilantik. Mahu tidak
meroyan jadinya Azizan?
Benarlah rungutan rakyat Kedah, bahawa PAS memerintah bagaikan
mentadbir sebuah kampung. Perihal
peraturan dan undang-undang semuanya diambil ‘enteng’. Kesemua pegawai dan exco membawa sikap ‘kaduk
naik junjung’ dan ‘kera mendapat bunga’ seolah-olah merekalah kuasa segala
kuasa dan boleh berbuat apa saja.
Akhirnya, semuanya berada di luar kawalan.
Khabarnya juga, pegawai kewangan negeri, Dato’ Haji Puat, sepupu
Azizan yang telah berada di situ sejak zaman pemerintahan BN juga sudah putus
harapan kerana gagal mendapat kerjasama Azizan sendiri.
Justeru, apakah kesudahannya nasib Negeri Kedah?
Nasib negeri Kedah adalah tidak pasti kerana ia bergantung kepada
rakyat Kedah dalam PRU-13 ini.
Namun, apa yang pasti ialah Azizan tidak ada hak untuk mengugut,
tetapi inilah masanya untuk beliau mengangkat tangan, mengaku kalah.
0 Komen