Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid
Ibrahim sebelum ini telah membuat pengumuman untuk membina Jambatan ke-tiga di
Klang pada awal tahun ini Malahan, dengan nada berpolitik, Menteri Besar
menuduh projek ini akan dilaksanakan kerana ianya gagal dibuat oleh Barisan
Nasional.
Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin
Mohamed berkata, difahamkan juga, sejumlah RM 300 juta akan diperuntukkan bagi
tujuan pembinaan jambatan tersebut.
“Hakikatnya, ini merupakan gula-gula politik
bagi tujuan memancing undi semata-mata. Kerajaan Negeri sengaja mengaitkan
Barisan Nasional dengan hal ini hanya kerana Kerajaan Barisan Nasional
memulakan upacara pecah tanah. Namun setelah mereka mengambil alih
pemerintahan, tanggungjawab membina jambatan memang sepatutnya di bawah
Kerajaan Negeri.
Strategi ini juga sebenarnya dilihat sebagai
sengaja untuk mengalihkan isu-isu setemp[at yang lebih penting di Klang
terutamanya Projek Tebatan Banjir yang dikatakan akan dibina. Malah difahamkan
juga, peruntukan untuk projek ini sebanyak RM5 juta telahpun diluluskan oleh
pihak Kerajaan Negeri,” ujarnya dalam sidang media di sini, hari ini.
Tambahnya, selain itu, Kerajaan Negeri juga
pernah berjanji akan membina Pusat Kebudayaan di Klang namun sehingga kini
tiada sebarang kemajuan berhubung projek tersebut.
Pada tahun 2010 pula, Kerajaan Negeri telah
mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 bilion untuk projek Pemulihan Sungai
Klang. Namun sehingga hari ini masih tiada sebarang tanda-tanda projek tersebut
akan dijalankan.
“Nampaknya, janji untuk membina Jambatan
Ke-tiga ini juga bakal menerima nasib yang sama. Kerajaan Negeri hanya berjanji
untuk mengalihkan isu-isu yang membelengu mereka yang tidak mampu ditunaikan.
Rakyat sudah mulai sedar bahawa janji-janji
yang ditaburkan oleh pemimpin PAS, DAP PKR hanyalah janji populis untuk
memenangi pilihanraya. Sebagai Kerajaan yang memerintah Selangor ini, PAS, PKR
dan DAP sepatutnya tidak terus mengelirukan rakyat dengan janji-janji politik
mereka sebaliknya bertindak menunaikan janji tersebut lebih-lebih lagi apabila
Janji Manifesto 2008 masih banyak yang belum tertunai,” tambahnya yang juga
Setiausaha UMNO Negeri Selangor.
0 Komen