‘Muflis@Bankrap- Anda Masih Ada Peluang Kedua’ 18 Feb Ini



Menunaikan janji kepada mereka yang disenaraihitamkan serta diisytihar muflis, Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda UMNO (BePU) akan mengadakan satu forum bagi mencari penylesaian kepada isu yang berlanjutan sekian lama itu.

Bertajuk `Muflis@Bankrap- Anda Masih Ada Peluang Kedua’, ia dijadikan platform kepada pihak terbabit mengupas masalah itu dan mencari satu formula terbaik untuk di bawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk perubahan kepada Akta Kebankrapan 1967.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, forum ini akan diadakan pada 18 Februari ini di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), akan menghimpunkan beberapa agensi berkaitan seperti Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan Bank Negara Malaysia serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, forum berkenaan dijangka akan mencapai satu kesepakatan mengenai bagaimana status muflis yang kini membabitkan 240,000 individu pelbagai sektor di negara ini mempunyai ruang dan 'kelonggaran' untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

"Daripada senarai itu, kita dapati sebahagian besar yang diisytihar muflis adalah golongan muda berumur di bawah 40 tahun dan menerusi pengumpulan maklumat di laman sosial facebook dan twitter, Pemuda Umno bersama gabungan NGO)membawa semua pendapat berkenaan ke pengetahuan pihak berwajib," katanya pada satu sidang media di sini, sebentar tadi.

Sohaimi yang juga Exco Pemuda UMNO berkata, berdasarkan maklumat yang dikumpul sejak 18 Disember lalu, terdapat lebih 1,000 maklum balas termasuk pendapat serta pandangan berhubung isu berkenaan dan menerusi forum itu nanti, pelbagai persoalan mengenainya dapat diselesaikan.

Berdasarkan rekod, pihaknya mendapati, ramai yang bankrap disebabkan pinjaman sewa beli kenderaan iaitu sekitar 26 peratus, pinjaman perumahan (12 peratus),hutang (21 peratus), pinjaman persendirian (13 peratus) dan pinjaman perniagaan sebanyak 11 peratus.

"Kita juga menjemput ahli panel yang arif mengenai isu ini termasuk Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim johan serta Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua, Datuk Khairul Anwar Rahmat untuk sama-sama mengupas permasalahan ini," katanya.

"Justeru, Pemuda berharap orang ramai turut serta di dalam perbincangan ini dan memberikan pandangan. Hasil maklumat itu, kita akan bawa kepada pengetahuan pihak berkuasa. Saya yakin, akta baru akan diperkenalkan dalam masa terdekat ini lebih memberikan lebih ruang kepada orang bankrap mendapat peluang kedua," katanya.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya boleh melayari blog www.muflis-peluangkedua.blogspot.com atau facebook dan twitter Muflis Peluang Kedua atau menghubungi sekretariat di talian 017-7157171.

Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment