Seorang anggota militan Sulu ditembak mati setelah lelaki itu
menyerang seorang anggota keselamatan dengan barong (sejenis parang) ketika
pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Simunul, Semporna, hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata anggota
keselamatan itu ditetak lelaki berumur 60-an terbabit di depan dan belakang
badannya ketika
pasukan keselamatan menjalankan operasi bersepadu dan
penggeledahan di kampung berkenaan pada 8.40 pagi.
"Walaupun ditetak, anggota pasukan keselamatan berjaya
melepaskan tembakan. Tiada kecederaan serius dialami anggota kita.
"Siasatan mendapati lelaki itu merupakan pengawal dan
pembantu kepada seorang penceroboh militan Sulu yang dikenali sebagai 'Imam Tua',"
katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini
hari ini.
Iman Tua adalah antara pengganas yang mati dalam pertempuran
dengan pasukan keselamatan di perkampungan atas air itu 2 Mac lepas yang turut mengorbankan enam anggota polis.
Hamza berkata hasil pemeriksaan di rumah itu, pasukan keselamatan
menahan dua wanita berusia 45 dan 30 tahun yang merupakan isteri dan anak
perempuan penceroboh militan yang ditembak mati berkenaan.
Kedua-dua wanita yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu
kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012
(Sosma), katanya.
Beliau berkata turut ditahan dalam operasi itu ialah empat lelaki.
Kesemua mereka ditahan mengikut akta-akta lain.
Hamza berkata sehingga kini pasukan keselamatan menembak mati 68
musuh manakala 121 individu ditahan untuk siasatan di bawah Sosma dan 443
ditangkap mengikut akta-akta lain.
Sementara itu, Hamza berkata ketua kampung dan ketua-ketua
keluarga Kampung Tanjung Batu akan dibawa masuk bersama kumpulan penilaian
terdiri daripada pegawai daerah dan Majlis Keselamatan Negara ke kampung itu
esok bagi membuat taksiran kerosakan harta benda sebelum penduduk yang
mempunyai dokumen dibenar pulang Sabtu ini.
Bagi yang tiada dokumen, mereka akan diletakkan di satu kawasan
sementara, katanya.
0 Komen