Sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini,
satu program Malam Cinta Rasul akan dianjurkan oleh Masjid Kampung Baru anjuran
bersama Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan dan Pergerakan Pemuda UMNO
Bahagian Titiwangsa.
Program itu akan diadakan Isnin ini bertempat di Masjid Kampung Baru,
Kuala Lumpur dan dijangka disertai kira-kira 2,000 umat Islam.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan
Mohammad Rafii berkata, program itu akan bermula pada pukul 7 malam dengan
persembahan Qasidah oleh Al Yamani.
Kemudiannya ia akan disusuli dengan sembahyang magrib diikuti
dengan bacaan ayat-ayat suci al Quran oleh johan qari Musabaqah Membaca
al-Quran Peringkat Antarabangsa, Amirahman Abas.
“Selepas itu para jemputan yang hadir akan bersembahyang isyak
yang kemudiannya diikuti oleh persembahan qasidah dan ceramah oleh bekas Mufti
Johor, Datuk Noh Gadut.
Menurut Mohamad Razlan, matlamat program itu adalah untuk
menyemarakkan aktiviti sambutan Maulidur Rasul terutama di kalangan generasi
muda warga kota.
Kita bukan sekadar mahu meraikan hari kelahiran Rasullullah SAW
semata-mata, tetapi sambutan ini juga diharapkan dapat mengumpul golongan muda
terutamanya supaya dapat diperdengarkan kepada mereka kisah-kisah Rasulullah
yang mungkin ada yang sudah semakin lupa," ujarnya yang juga Ketua Pemuda
UMNO Bahagian Seputih.
Sehubungan itu beliau menyeru warga kota untuk sama-sama memenuhi
Masjid Kampung Baru pada Isnin ini untuk menyatakan rasa kecintaan dan sayang
kepada Rasulullah di samping bersama-sama memperbaharui tekad dan semangat
untuk mempertingkat amalan serta terus memperkasa Islam.
Menurut Mohamad Razlan, sambutan yang bertemakan Husnul Khotimah:
Allah dan Rasul Di Sisiku itu, juga diharapkan dapat menjadi platform untuk
mewujudkan kesatuan dalam kalangan umat Islam yang kini dilihat semakin
terjejas.
0 Komen