Berikut ialah kenyataan akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak hari ini mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang:
Tujuh hari lepas, pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370
hilang. Kami
sedar ini merupakan detik-detik yang amat menyeksakan bagi
keluarga penumpang yang menaiki pesawat itu. Tiada kata-kata yang dapat
menggambarkan keperitan yang sedang mereka alami. Sesungguhnya, perasaan
simpati dan doa kami sentiasa bersama mereka.
Saya meneliti operasi mencari pesawat itu sepanjang masa. Pada
peringkat awal operasi, saya mengarahkan supaya kawasan mencari diperluaskan;
saya
mengarahkan pihak berkuasa Malaysia berkongsi semua maklumat
berkenaan secara bebas dan telus dengan pasukan penyiasat yang semakin besar;
dan saya meminta sahabat dan sekutu kami supaya menyertai operasi ini. Sehingga
hari ini, sebanyak 14 negara, 43 kapal dan 58 pesawat terlibat dalam usaha ini.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kerajaan yang
memberi pertolongan dalam saat-saat yang amat getir ini. Sejak hari pertama
lagi, pihak
berkuasa Malaysia bekerjaama rapat dengan rakan kami di peringkat
antarabangsa - termasuk negara jiran, pihak berkuasa penerbangan dan pasukan
mencari dari pelbagai negara - kebanyakan mereka berada di sini sejak Ahad
lepas.
Kami telah berkongsi maklumat secara tepat masa dengan pihak
berkuasa yang memiliki pengalaman diperlukan bagi mentafsir data yang ada. Kami
berusaha tanpa henti untuk membantu penyiasatan. Dan kami meletakkan
kepentingan negara di tempat kedua dalam usaha mencari pesawat yang hilang itu.
Ramai yang faham bahawa situasi ini belum pernah terjadi sebelum
ini.
Kami menjalankan operasi mencari di darat, di Laut China Selatan,
Selat Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi. Pada setiap peringkat, kami
bertindak berdasarkan maklumat yang disahkan dan kami memberi tumpuan terhadap
setiap petunjuk yang boleh dipercayai.
Memang wujud pelbagai spekulasi. Kami faham keperluan mendesak
untuk mendapatkan maklumat bagi pihak
keluarga terbabit dan mereka yang memerhati di seluruh dunia. Namun demikian,
tanggungjawab kami kepada penyiasatan dan keluarga terbabit adalah untuk hanya
mengeluarkan maklumat yang sudah disahkan.
Dan perkara yang memberi motivasi kepada kami ialah untuk mencari
pesawat berkenaan.
Dalam fasa pertama operasi mencari, kami melakukan pencarian
berhampiran posisi terakhir MH370 yang diketahui iaitu di Laut China Selatan.
Pada waktu yang sama, kami dimaklumkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia
bahawa menurut radar utama mereka, sebuah pesawat udara – yang identitinya
tidak dapat disahkan – telah berpatah balik. Data radar utama ini menunjukkan
bahawa pesawat udara berkenaan menggunakan laluan penerbangan yang membawanya
ke satu kawasan di utara Selat Melaka.
Berdasarkan data yang boleh dipercayai ini, yang kemudiannya
disahkan dengan pihak berkuasa antarabangsa berkaitan, kami meluaskan kawasan
mencari hingga meliputi Selat Melaka dan kemudiannya Laut Andaman.
Awal pagi tadi, saya diberi taklimat oleh pasukan penyiasat - yang
dianggotai FAA, NTSB, AAIB, pihak berkuasa Malaysia serta Pemangku Menteri Pengangkutan
- mengenai maklumat baharu yang memberi lebih banyak petunjuk tentang apa yang
berlaku kepada MH370.
Berdasarkan maklumat terbaharu satelit, kami boleh menyatakan
dengan tahap kepastian yang tinggi bahawa Sistem Pengendalian Komuniksi dan
Laporan Pesawat (ACARS) dimatikan sejurus sebelum pesawat berkenaan
sampai ke pantai timur semenanjung Malaysia.
Sejurus selepas itu, berhampiran sempadan kawalan trafik udara
antara Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat itu dimatikan.
Mulai saat itu, radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia
menunjukkan sebuah pesawat, yang dipercayai – tetapi tidak disahkan – MH370
memang berpatah balik.
Ia kemudian terbang semula ke arah barat melalui semenanjung
Malaysia, sebelum membelok ke arah barat laut. Sepanjang tempoh itu,
sehinggalah ia hilang daripada liputuan radar utama tentera, pergerakan yang
berlaku menunjukkan ia adalah hasil tindakan secara sengaja oleh seseorang yang
berada di dalam pesawat berkenaan.
Hari ini, berdasarkan data satelit belum proses yang diperoleh
daripada penyedia perkhidmatan data satelit, kami boleh mengesahkan bahawa
pesawat yang ditunjukkan di dalam radar utama itu adalah penerbangan MH370.
Selepas banyak kajian forensik dibuat dan perbincangan mendalam diadakan, FAA,
NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia, yang mengkaji data itu secara
berasingan, memberi pendapat yang sama.
Menurut data baharu itu, komunikasi terakhir yang disahkan berlaku
antara pesawat itu dengan satelit ialah pada pukul 8:11 pagi waktu Malaysia,
Sabtu, 8
Mac. Pasukan penyiasat sedang membuat kiraan selanjutnya untuk
mengetahui hingga sampai ke mana pesawat itu mungkin terbang selepas kali
terakhir ia mempunyai hubungan. Ini akan membantu kami memperhalusi lagi usaha
mencari.
Berikutan jenis data satelit yang ada, kami tidak dapat
mengesahkan lokasi tepat pesawat itu berada ketika kali terakhir ia mempunyai
hubungan dengan
satelit.
Bagaimanapun, berdasarkan data baharu ini, pihak berkuasa
penerbangan Malaysia dan rakan antarabangsanya memutuskan bahawa komunikasi
kali terakhir antara pesawat itu dengan satelit berlaku di satu daripada dua
koridor ini: koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan
Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand, atau koridor selatan dari
Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. Pasukan penyiasat sedang berusaha
untuk memperhalusi lagi maklumat ini.
Berikutan perkembangan terbaharu ini, pihak berkuasa Malaysia
mengalih fokus penyiasatan mereka kepada petugas dan penumpang pesawat
berkenaan. Walaupun terdapat laporan media bahawa pesawat itu telah dirampas,
saya ingin menegaskan dengan sejelas-jelasnya bahawa: kami sedang menyiasat
semua kemungkinan yang boleh menyebabkan MH370 melencong daripada laluan asal
penerbangannya.
Maklumat satelit terbaharu ini memberi kesan penting terhadap
bentuk dan skop operasi mencari. Kami telah menghentikan operasi kami di Laut
China Selatan dan menilai semula penggunaan aset kami. Kami sedang bekerjasama
dengan negara berkaitan dan memohon mereka memberi semua maklumat berkenaan
untuk digunakan dalam operasi mencari, termasuk data radar.
Oleh kerana dua koridor baharu itu melibatkan banyak negara, maka
kedutaan negara berkenaan hari ini diundang menghadiri majlis taklimat bersama Kementerian
Luar Negeri dan pakar teknikal berhubung maklumat yang baharu diperoleh itu.
Saya juga telah mengarahkan Kementerian Luar Negeri memberi taklimat penuh
kepada kerajaan-kerajaan asing, yang rakyat mereka menjadi penumpang pesawat
itu. Pagi tadi, Malaysia Airlines memaklumkan kepada keluarga penumpang dan
petugas pesawat mengenai perkembangan terbaharu ini.
Jelas sekali, usaha mencari MH370 kini memasuki fasa baharu.
Sepanjang tujuh hari lepas, kami mengikuti setiap petunjuk dan mengkaji
pelbagai kemungkinan.
Kepada keluarga dan rakan-rakan mereka yang terlibat, kami
berharap maklumat baharu ini akan membawa kami lebih dekat kepada menemui
pesawat berkenaan.
9:26 PM
PERSOALANNYA MENGAPA TUDM TIDAK MENGHANTAR JET PEJUANGNYA MEMINTAS PESAWAT YANG TIDAK DIKENALI YANG DILIHAT DIATAS RADARNYA. ADAKAH SISTEM RADAR PERTAHANAN UDARA MALAYSIA TERLALU LEMAH? ADAKAH ANGGOTA ANGGOTA TUDM YANG MENGENDALI RADAR PERTAHANAN MALAYSIA PADA 8 MAC 2014 TIDAK MENGHIRAUKN APA YANG DILIHATNYA DALAM RADAR? ADAKAH SIKAP ANGGOTA TUDM YANG TIDAK PEKA DENGAN APA YANG DILIHATNYA DALAM RADAR DAN MEMANDANG REMEH APA YANG DILIHATNYA? MUNGKINKAH KALAU SIKAP BEGINI BERTERUSAN AKAN MEMUDAHKAN MUSUH MENEMBUSI RUANG UDARA MALAYSIA?
9:54 PM
Penemuan dibuat melalui data recording to corroborate data from dca reading, ie after the incident confirmed, not in real time. When the blip first occurred on screen, Tudm radar operator identified the blip as civil aircraft and non hostile -.non bogey.