Misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 di
koridor utara dan selatan kini bermula, setelah siasatan mengesahkan bahawa
pesawat itu telah berpatah balik dari Laut China Selatan menuju Laut Andaman
pada awal pagi 8 Mac.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata
negara-negara termasuk Australia, China, Indonesia dan Kazakhstan telahpun memulakan
operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Koridor utara merintangi kawasan kira-kira dari sempadan
Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand, sementara
koridor selatan merintangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan
Hindi.
Pada lewat Sabtu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mengumumkan bahawa misi SAR diperluas ke koridor utara dan selatan ekoran data
dari radar tentera mengesahkan bahawa pesawat yang telah berpatah balik dari
pusat kawalan trafik udara Vietnam, adalah penerbangan MH370.
Dalam pada itu operasi mencari di Laut China Selatan telah
dihentikan.
Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata Kementerian
Luar telah juga menghantar nota diplomatik kepada negara-negara yang terlibat
dalam misi SAR, iaitu negara-negara di koridor pencarian dan negara-negara yang
Malaysia pohon bantuan dan kepakaran.
"Bagi negara-negara di koridor pencarian, kita meminta
maklumat radar dan satelit, serta aset spesifik untuk operasi SAR.
"Kita meminta mereka memperkongsikan rancangan tindakan
mencari dan menyelamat di darat, laut dan udara dengan Pusat Penyelaras
Penyelamat di sini di Malaysia, supaya kita boleh menyelaras usaha
mencari," kata beliau di
persidangan akhbar harian mengenai MH370.
Separuh dari 14 negara di dua koridor itu telah memberi
persetujuan lisan terhadap usaha itu.
Menteri itu berkata Malaysia mengetuai koordinasi keseluruhan SAR
sementara Australia dan Indonesia bersetuju mengetuai operasi di rantau
masing-masing dalam koridor selatan, mengikut penandaan oleh Organisasi
Penerbangan Awam Antarabangsa.
Dua buah kapal Malaysia, kapal ronda luar pantai KD Kelantan dan
KD Selangor, bersama sebuah helikopter Super Lynx telah dikerah ke koridor
selatan.
Menyentuh isu lain, Hishammuddin menegaskan bahawa Malaysia tidak merahsiakan
sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan MH370.
Pada hari ke-10 hilangnya pesawat MAS itu, Hishammuddin berkata
selain tidak ada menerima isyarat kecemasan, pihak berkuasa juga tidak menerima
sebarang nota tebusan, dan tidak ada pihak yang tampil mendakwa bertanggungjawab.
CEO MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata tidak ada bukti penumpang
membuat sebarang panggilan telefon selepas pesawat itu lenyap.
Beliau juga berkata siasatan awal menunjukkan suara yang menyebut
"Alright, good night", komunikasi terakhir dari kokpit kepada
pengawal trafik udara, adalah suara pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid dan
ia dihantar pada 1.19 pagi sebelum pesawat hilang dari radar pada 8 Mac.
Pemancaran terakhir dari Aircraft Communications Addressing and Reporting
System (ACARS) ialah pada 1.07 pagi.
Beliau juga mendedahkan bahawa kandungan utama kargo dalam pesawat
MH370 yang menunju Beijing ialah buah manggis.
Dalam perkembangan lain, Polis berkata simulator penerbangan yang
diambil dari rumah juruterbang Kapt Zaharie Ahmad Shah semalam, telah dipasang
semula di Bukit Aman bagi mencari petunjuk sama ada wujud kaitannya dengan
insiden pesawat hilang itu.
Sehingga ini, 26 negara terlibat dalam operasi SAR.
0 Komen