Rakyat China diminta menilai
hasil hubungan diplomatik Malaysia dan negara itu yang terjalin sejak 40 tahun
lalu dan tidak mengeruhkannya semata-mata kerana spekulasi yang tidak berasas
berkaitan tragedi pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang di
selatan Lautan Hindi.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata
ini kerana banyak daripada perasaan tidak puashati oleh rakyat di China terhadap Malaysia datang
daripada teori dan spekulasi yang tidak berasas berhubung tragedi yang menimpa
pesawat berkenaan.
"Kita berharap rakyat China melihat hubungan dengan kita
(Malaysia) secara keseluruhan, bukan hanya melihat spekulasi yang tidak berasas
(berkaitan tragedi yang menimpa pesawat berkenaan)," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Pusat Satelit Institut Sukan Negara Kelantan di
Kompleks Belia dan Sukan Panji di sini, hari ini.
Khairy berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan rakyat
China membatalkan banyak pakej pelancongan ke
Malaysia berikutan tragedi yang menimpa penerbangan MH370 itu.
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal,
berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada paparan
radar kira-kira sejam kemudian ketika merentasi Laut China Selatan. Ia
sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada Isnin
bahawa penerbangan pesawat MH370 berakhir di
kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pada tahun ini
genap 40 tahun terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China,
dan Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara yang mengiktiraf negara itu
dengan mengadakan hubungan dua hala pada 1974.
"Bila timbul isu berkaitan Laut China Selatan yang banyak
meredakan keadaan adalah Malaysia, kita tidak ambil sikap konfrantasi terhadap China seperti negara lain,
kita berdiplomasi dengan China, kita banyak menerima pelaburan dari negara ini
dan kita banyak melabur di China,"
katanya sambil menyifatkan Malaysia sebagai sahabat rapat kepada China.
Beliau berkata tuduhan bahawa Malaysia menyembunyikan maklumat berkaitan
tragedi pesawat tersebut adalah tidak
benar dan maklumat yang diberikan adalah setelah ia disahkan.
"Saya lihat kenyataan sesetengah keluarga itu mengatakan
bahawa ada perkara yang disembunyikan oleh kerajaan Malaysia, ada perkara yang tidak dimaklumkan oleh
kerajaan Malaysia sampai digelar sebagai pembunuh.
"Saya hendak ingatkan kepada keluarga, bukan rakyat China
sahaja berada dalam pesawat MH370, rakyat Malaysia juga ada, kenapa kita hendak
sembunyikan fakta, maklumat daripada keluarga mangsa, tidak ada sebab kita
hendak sembunyi maklumat, sejak hari pertama kita beri maklumat tepat, kita hanya beri maklumat
yang telah disahkan," katanya.
Khairy berkata beliau difahamkan ribuan pakej pelancongan telah
dibatalkan oleh pelancong negara China yang akan memberi kesan yang serius kepada kejayaan Tahun Melawat
Malaysia 2014 kerana China adalah pasaran terbesar Malaysia di Asia dari segi
pelancongan.
Beliau percaya kerajaan sedang melihat perkara itu secara serius
dan mengambil langkah-langkah berkesan bagi
mengelakkan ia merebak ke sektor lain yang boleh memberi kesan kepada
ekonomi negara ini.
Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai kes pasangan rakyat
Malaysia yang didapati bersalah memukul anak mereka dan dihukum penjara oleh
Mahkamah Daerah Solna di Stockholm, Sweden semalam, Khairy berkata semua pihak perlu menghormati undang-undang negara
itu.
"Mereka berada di Sweden dan dibicarakan di mahkmah maka kita
kena terima keputusan mahkamah di negara
tersebut," katanya.
Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhkan hukuman penjara 10
bulan ke atas Azizul Raheem Awaluddin, seorang pegawai Tourism Malaysia di
Sweden, manakala isterinya Shalwati Norshal dihukum penjara 14 bulan selepas
didapati bersalah memukul anak-anak mereka.
0 Komen