Lebih 3,000 anggota badan bukan kerajaan (NGO) hari ini berarak ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, untuk menyerahkan memorandum bantahan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.
Bantahan itu dibuat sempena sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang diadakan hari ini. Kumpulan NGO berkenaan yang disertai antaranya Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mula berkumpul di Dataran Shah Alam di sini sejak pukul 10.30 pagi sebelum berarak sejauh kira-kira satu kilometer.
Wakil kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo menyerahkan memorandum berkenaan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burung Datuk Mohd Shamsudin Lias.
Ismail berkata memorandum itu menyatakan pindaan tersebut hanya bertujuan mengembalikan kuasa kepada Menteri Besar dalam hal pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kerajaan Negeri.
“Kita nak tanyalah, adakah pindaan ini sebagaimana yang dilaungkan-laungkan Tan Sri Khalid adakah untuk mengembalikan kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ataupun memperkuatkan kuasanya sebagai Menteri Besar,” ujarnya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsuddin Lias.
Selain itu, Ismail berkata memorandum berkenaan juga menyatakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya bermain wayang politik kerana kerajaan negeri tidak mempunyai majoriti dua pertiga untuk meminda perlembagaan negeri.
" Umum mengetahui bahawa Tan Sri Khalid mempunyai kerajaan yang lemah dan tidak mempunyai majority 2/3 untuk meminda perlembagaan negeri ini.
Oleh yang demikian, mana mungkin pindaan boleh dilakukan tanpa sokongan ADUN BN. Selain dari itu pindaan ini sia-sia kerana ia akan ultra vires dengan Perlembagaan Persekutuan dari hal kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Maknanya sidang khas DUN Selangor hari ini tidak lebih daripada sekadar episod ceritera wayang politik berjudul 'Khalid Derhaka'. " katanya.
**** Sila berkunjung juga ke http://sahabat-gunung.fotopages.com/?entry=2133484 untuk gambar-gambar sekitar program
0 Komen