SHAH ALAM 13 Mac - UMNO Bahagian Sungai Besar hari ini menafikan terlibat dengan pemasangan kain rentang di sekitar kawasan itu yang mengkritik kepimpinan parti-parti pembangkang setelah genap tiga tahun mentadbir negeri ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian itu, Budiman Mohd. Zohdi berkata, pihaknya tidak ada kaitan dengan perkara tersebut.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan menggantung kain rentang di sekitar kawasan Sungai Besar itu dilakukan oleh rakyat di kawasan tersebut yang muak dengan pimpinan kerajaan negeri ketika ini.
''Ini kerana, berdasarkan fakta, kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas sehingga kini masih gagal menunaikan janji kebajikan kepada rakyat di negeri ini termasuk di Sungai Besar.
''Kita tidak tahu-menahu mengenai penggantungan kain rentang mengkritik kerajaan negeri di kawasan Sungai Besar, tetapi saya yakin ia dilakukan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan corak pentadbiran parti pembangkang di Selangor,'' katanya kepada Utusan Malaysiadi sini, hari ini.
Beliau mengulas penggantungan kain rentang yang mengutuk kepimpinan parti pembangkang yang digantung di setiap pelosok kawasan Sungai Besar, Sabak Bernam hari ini.
Sumber: Utusan Malaysia

0 Komen
Post a Comment