Jangan tanya apa sumbangan UMNO pada kita….

11 Mei ini, genap 62 tahun UMNO berjuang mempertahankan maruah agama, bangsa dan Negara. Dalam tempoh tersebut, terlalu banyak peristiwa penting yang berlaku, manis dan pahit - UMNO terus melangkah demi satu perjuangan sebuah bangsa yang merdeka.

Benarkah UMNO merupakan pencetus kepada perjuangan kemerdekaan atau masih ada sejarah yang tersembunyi, atau dalam erti kata lain, sejarah Malaysia hari ini masih belum cukup lengkap untuk menceritakan perjuangan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu?. Ada yang mengatakan perjuangan menuntut kemerdekaan bukanlah diasaskan oleh UMNO, tetapi ia bermula dengan perjuangan dan gerakan nasionalis kiri, dan perjuangan bersenjata anti-British, demi menuntut kemerdekaan kita. Benarkah?

Dalam buku Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan oleh Mohamed Salleh Lamry dan diterbitkan oleh Penerbit UKM, dikatakan pada zaman sebelum darurat, kebanyakan penduduk kampung telah melibatkan diri secara aktif dengan gerakan PKMM, API, AWAS, BATAS dan PETA. Pada zaman darurat pula, mereka beramai-ramai menyertai perjuangan bersenjata yang diterajui PKMM untuk mencapai kemerdekaan tanahair. Benarkah?

Mungkin tidak keterlaluan sekiranya aku mengatakan, selama ini aku tidak pernah mengiktiraf atau mengambil tahu siapa Musa Ahmad, Wahi Anuar, Shamsiah Fakeh, Zainab Mahmud? Malah jauh sekali untuk aku mengkaji apakah dan hala tuju perjuangan PKMM, API, AWAS, BATAS dan PETA?

Aku cukup meminati sejarah, malah sejak dari awal zaman persekolahanku, subjek sejarah adalah salah satu subjek kegemaranku. Tapi kini, hakikatnya aku gagal dalam SEJARAH. Adakah keterlaluan sekiranya aku katakan, sejarah dan hala tuju golongan nasionalis kiri ini juga perlu dikaji semula agar generasi muda akan datang tidak lupa sejarah…..

Maafkan aku, sekiranya pandangan aku ini salah, dan tidak sesuai untuk dikaji semula. Tapi sekurang-kurangnya, mereka juga merupakan PEJUANG, begitu juga Dato Bahaman, Tok Janggut dan beberapa nama lagi yang tidak dapat aku katakan di sini…. Mereka juga pejuang, perjuangan mereka juga untuk menuntut kemerdekaan untuk Tanah Melayu, untuk membebaskan datuk nenek kita yang terdahulu dari belenggu penjajah.

Sekurang-kurangnya, mereka ada peranan mereka dalam menuntut lemerdekaan. Kita juga ada peranan. Peranan kita adalah untuk mengekalkan dan mengisi kemerdekaan agar kita tidak lagi dijajah, mungkin kita tidak akan dijajah dari segi ketenteraan, tetapi dalam sedar tak sedar, penjajahan di alaf baru bukan dari segi ketenteraan, tetapi penjajahan ekonomi, budaya dan sebagainya juga merupakan bentuk penjajahan baru di alaf baru ini.

Kalau kita melihat sejarah yang ada hari ini, sebelum wujudnya UMNO dalam tahun 1946, tidak ada sebuah pun pertubuhan politik yang mewakili bangsa Melayu khasnya dan masyarakat Malaya, amnya. Jauh sekali pertubuhan-pertubuhan tertentu yang ada pada ketika itu (merujuk kepada PKMM, API, AWAS, BATAS dan PETA), yang berkemampuan untuk menyatu-padukan rakyat berbilang kaum dalam perjuangan membebaskan Negara daripada cengkaman penjajah.

UMNO telah membangkitkan semangat nasionalisme Melayu untuk menentang ’Malayan Union’ dan membebaskan kita daripada belenggu penjajah. Hakikatnya, dasar ’Malayan Union’ merupakan satu muslihat yang disusun rapi oleh pihak penjajah untuk menakluk Tanah Melayu buat selamanya.....

Tanah Melayu dapat menikmati kemerdekaan berpunca daripada kebangkitan semangat nasionalisme Melayu yang ditiupkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO ketika itu. Semangat nasionalisme penduduk bukan Melayu yang turut bekerjasama untuk membebaskan tanahair daripada penjajah adalah kerana kesungguhan UMNO mendorong mereka bertindak ke arah yang sama. Dengan erti kata lain, persetujuan dan kata sepakat semua kaum di negara ini untuk berjuang adalah kerana daya usaha dan peranan yang dimainkan oleh UMNO. Alhamdulillah, pada hari ini, kita sudah ’merdeka’.

11 Mei hari UMNO tapi jangan lupa tarikh 4 dan 15 Februari 1988

Hakikatnya, UMNO memang ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Tarikh keramat itu harus diinggati oleh setiap ahli-ahli UMNO. Tetapi berapa ramaikah ahli UMNO yang melihat 11 Mei sebagai hari kita sebagai ahli UMNO. Malah tidak keterlaluan sekiranya aku katakan hanya 20% sahaja ahli UMNO yang mengerti tarikh keramat tersebut, itupun di kalangan `ahli-ahli veteran UMNO’ sahaja. Buat generasi muda, kalau tak diinggatkan pada setiap tahun, jangan harap mereka mereka akan sedar betapa besar ertinya 11 Mei 1946.

Tapi sebagai ahli UMNO, kita juga jangan lupakan tarikh 4 dan 15 Februari 1988. Pada 4 Februari, UMNO dikatakan `mati’. Namun ia merupakan sejarah yang amat luas tafsirannya dan implikasinya.

UMNO ’mati’ akibat pertembungan Tengku Razaleigh yang menentang Dr Mahathir Mohamad sejak April 1987, bermodalkan apa yang didakwanya sebagai ’kemungkaran politik dan ekonomi’.

15 Februari 1988, UMNO dihidupkan semula dan diberikan nafas baru. Perjuangan UMNO diteruskan, hasil usaha kepimpinan UMNO ketika itu yang diterajui oleh Dr Mahathir Mohamed. Usaha itu dibuat seperti kata Dr Mahathir pada 28 Februari 1988,:

"UMNO wujud pada hakikatnya dan tidak ada sesiapa yang boleh membuat fitnah, berpura-pura atau secara rasmi mendakwa UMNO tidak ada dan perlu dihidupkan semula. UMNO tidak mati. UMNO bukan makhluk yang boleh hidup dan mati seperti makhluk lain. UMNO adalah pertubuhan yang ditubuhkan mengikut undang-undang. Hanya pendaftaran sahaja yang tergugat buat sementara. Segala usaha untuk menghapuskan UMNO gagal. "

Oleh itu UMNO hanya mati dari segi teknikal, maka adalah tepat bila Dr Mahathir menegaskan bahawa UMNO yang wujud hari ini, dari segi semangatnya, daripada segi perjuangannya dan dari segi perlembagaannya, adalah UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru. – Ruhanie Ahmad (Melayu Lawan Melayu,1990)


Aku Di Persimpangan

Aku pun tak tahu mengapa aku menulis mengenai peristiwa 1988 kali ini. Aku pun tak tahu, mengapa dalam hati kecilku, tahun ini aku akan melihat tsunami kedua dalam UMNO. Selepas ’dikecewakan’ dalam PRU yang lalu, kini semua mata tertumpu pada pemilihan UMNO Disember ini.

Begitu juga aku. Sebagai seorang ahli parti, menipulah aku tidak menantikan saat ini. Mungkinkah `sejarah hitam UMNO 1988’ akan berulang lagi Disember ini.

Namun aku yakin, semua ahli UMNO sudah matang dan kuat jati dirinya. Aku yakin pemilihan Disember ini, tidak akan membawa kepada ’kematian ke2 Parti Keramat UMNO’. Pemilihan kali ini, akan membawa UMNO lebih matang, menilai mana yang baik, mana yang buruk, demi survival perjuangan sebuah bangsa yang bermaruah.
Tiada apa lagi yang dapat aku perkatakan di sini.

Pokoknya, biar berlaga ayam di reban, biar menendang kuda di kandang, namun adat wajib dijaga. Adat bersaudara, saudara dipertahankan. Adat berkampung, kampung dijaga. Adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Oleh itu, bersatulah wahai bangsa Melayu. Biduk lalu, kiambang bertaut. Air dicincang takkan putus. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.

Oleh itu, berdamailah pemimpin-pemimpin Melayu dan selesaikanlah masalah perpaduan Melayu dan ketuanan Melayu ini dengan penuh bijaksana. Berwaspadalah, kalau menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Berhati-hatilah, kalau membunuh ular, kayu pemukul janganlah patah, ular dipukul biarlah mati, tanah terpukul jangan pula lekuk.

Aminuddin Baki pernah berpesan, jangan sampai ’ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan.’ Demi Melayu dan demi Islam, atasilah sebaiknya masalah perpecahan Melayu hari ini. Usahakanlah perdamaian antara Melayu dan Islam di negara ini.

Jangan sampai kata-kata ’Hidup Melayu’ dan ’Membangun Bersama Islam’ hanya tinggal lagenda akibat ’lawan tetap lawan’ dan ’Makkal Sakti’ demi merealisasikan ’Malaysian Malaysia’. Fikirkanlah....

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment