KUALA LUMPUR– Parti Keadilan Rakyat terus menerima tamparan apabila ada lagi ahli dan penyokong PKR keluar parti dan memohon masuk UMNO.
Atas alasan untuk berhijrah dan berpindah dari PKR kepada UMNO tanpa rasa benci, marah atau ketidakpuasan hati, Ketua Bahagian PKR cabang Bukit Bintang, Drs Mahmood Abdullah bersama 15 anggota yang sebahagiannya adalah Anggota Jawatankuasa (AJK) cabang berkenaan umumkan keluar parti dan menyertai UMNO, berkuatkuasa serta-merta.
“Hijrah atau perpindahan kami dari PKR kepada UMNO ini dibuat tanpa rasa benci, marah dan ketidakpuasan hati kepada sesiapa demi perpaduan bangsa Melayu, agama Islam dan Negara Malaysia yang tercinta yang secara konsisten diperjuangkan UMNO selama ini.
Kami berhijrah untuk membina ikatan silatulrahim bukan untuk permusuhan dan tidak pula mengejar pangkat dan imbuhan duniawati ataupun ugutan,” ujar Drs Mahmood kepada media selepas menyerahkan borang permohonan masuk UMNO.
Borang menyertai UMNO itu diserahkan kepada Timbalan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta disaksikan Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Mohd Shafie Abdullah dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee.
"Tujuan kami kembali kepada UMNO adalah kerana yakin dengan fokus perjuangan yang dibawa Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai agenda perjuangan yang tidak berubah-ubah berbanding PKR.
PKR mempunyai pelbagai agenda dan matlamat, tidak fokus perjuangannya. Sebagai orang
Melayu yang duduk dalam PKR saya rasa bersalah. Semoga dengan kemasukan saya ke dalam UMNO ini dapat meneruskan perjuangan kami untuk masa depan anak bangsa yang lebih terjamin bersama UMNO dan Barisan Nasional" tambahnya.
Katanya selepas mencatat kejayaan cemerlang semasa Pilihan Raya Umum 2008, segala kepincangan dalam perjuangan parti itu mula ketara dengan dihujani pelbagai masalah.
Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa 201 penyokong-penyokongnya akan turut mengambil tindakan yang sama untuk meninggalkan PKR dan bersama dalam UMNO selepas Aidilfitri ini.
Dalam perkembangan yang sama, Datuk Raja Nong Chik berkata, UMNO Wilayah Persekutuan mengalu-alukan kemasukan Drs Mahmood bersama penyokong-penyokongnya untuk masuk UMNO demi meneruskan perjuangan.


0 Komen
Post a Comment