UMNO dan Barisan Nasional akan tetap dipersalahkan, dituduh sebagai dalang kepada apa sahaja akiviti `psywar’ yang dilakukan pihak pembangkang kerana itu memang dah kerja mereka bagi menyorok tindakan dan perbuatan mereka selama ini, ujar EXCO Penerangan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Mohd Jais Sarday mengulas kenyataan Dato’ Chua Jui Meng yang mengaitkan bekas MB Johor sebagai dalang kain rentang yang memaparkan gambarnya dan Sultan Johor dinaikkan untuk menimbulkan kemurkaan sultan terhadap parti pembangkang.
“Menuduh UMNO, BN dan kerajaan adalah satu tindakan lazim pakatan pembangkang, bagi menutup kerja-kerja haram mereka selama ini. Mula-mula timbul isu kain rentang ini, mereka dah menuduh UMNO dan kini, nak mengaitkan pula bekas MB Johor sebagai dalangnya.
Apa lagi yang mereka boleh buat selain menuduh UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO yang selama ini menjaga dan menjunjung institusi Raja sejak sebelum merdeka lagi. Ketika Tunku Abdul Rahman membuka status kewarganegaan kepada bangsa lain bagi membuka jalan kemerdekaan kepada negara kita, ketika itu sebagai balasan kepada orang Melayu ialah Kedaulatan Raja-Raja Melayu tidak boleh dipertikai atau diperkotak-katikan oleh mana-mana pihak atau individu,” ujarnya ketiak dihubungi UMNO-Online.
Dalam masa yang sama, beliau berkata UMNO dan Barisan Nasional tidak pernah sama sekali mengheret institusi Raja ke dalam politik apatah lagi dengan tindakan kurang ajar meletakkan wajah Sultan Johor di dalam banner ceramah atau program-program UMNO selama ini.
“Kita amat menjunjung institusi Raja. Malah UMNO sendiri lahir di Istana Johor, maka hubungan UMNO dengan instusi Raja Johor amat rapat, namun kita tidak pernah melibat dan mempergunakan Sultan Johor dalam kempen-kempen politik UMNO dan BN.
Sehubungan dengan itu, saya mintalah kepada pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang di Johor ini agar tidak lagi mempergunakan dan mengheret institusi Raja, malah melakukan tindakan kurang ajar meletakkan wajah Sultan Johor di dalam banner kempen ceramah bersama wajah-wajah pemimpin-pemimpin mereka. Dalam masa yang sama, cukup-cukuplah mempersalahkan UMNO dan BN bagi menyembunyikan tindakan mereka selama ini,” ujarnya yang juga merupakan Ketua UMNO bahagian Kluang.


0 Komen
Post a Comment