SEMBRONG (Kluang) – Selaras dengan gaya kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pemimpin UMNO kini terus mendekati rakyat siang malam hingga ke turun padang pada waktu sahur.
Demikian juga Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein di Parlimen Sembrong. Bukan pertama kali duduk di lantai yang sama dengan penduduk kawasan itu, namun kali ini hampir sepanjang hari dan malam berganding tangan mengambil berkat Ramadan ini.
Beliau bersama barisan kepimpinan UMNO Bahagian telah menghadiri majlis bersahur bersama penduduk-penduduk Kampung Melayu Batu 4 Paloh, Ahad lalu.

Isterinya, Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah seperti selalu sama-sama tidak melepaskan peluang bersama masyarakat kampung itu.
Mereka tiba di Masjid Jamek Kampung Melayu Batu 4 Paloh kira-kira jam 2.30 pagi bagi menghadiri tahlil dan doa selamat.
Kemudian menyertai penduduk kampung bergotong royong dan meninjau program Wanita membuat kuih tempeyek dan bahulu, sebelum bersama-sama Pemuda untuk membakar lemang.
Program itu adalah sebahagian daripada amalan tradisi beliau pada Ramadan bagi mendekati rakyat dari semua lapisan dan kelompok khususnya mereka yang berada di kawasan pedalaman.
Tahun lalu YB Dato’ Seri telah menghadiri program yang sama, bagi mendekati kumpulan masyarakat nelayan di Kampung Penarik di Terengganu.
Menerusi program seumpama ini, hubungan beliau dengan masyarakat setempat dapat diperkukuh dan segala masalah yang berbangkit dan keperluan penduduk dapat diambil tindakan dengan segera.
“Semangat setiakawan antara kita masih lagi berada dalam keadaan yang cukup tinggi lebih-lebih lagi di Johor ini. Sebab itu saya ingatkan kepada semua dalam kita nak berpolitik pun ada had dan batasannya.
Isu-isu yang berhubung kait dengan agama, perpaduan orang Melayu, bangsa kita, jangan sampai berada di dalam keadaan yang keruh dan susah untuk dijaga. Tetapi setakat ini saya tengok khususnya di Sembrong serta di Johor ini masih lagi dalam keadaan yang cukup baik.
Usaha sebegini mesti diteruskan. Bagi saya ia membawa balik pulangan dalam politik secara positif; daripada cara menanam kebencian atau nak melaga-lagakan sesama orang kita. Kalau kita buat begini, seperti cakap benda-benda yang baik itu sebenarnya itu yang dituntut dalam Islam. Jadi dalam konteks ini saya harap yang muda-muda ini memainkan peranan untuk mendekati masyarakat” ujar Hishammuddin.
Dalam konteks itu, beliau telah meminta agar golongan muda dalam politik memainkan peranan yang lebih aktif dalam mendekati masyarakat bagi menyelami kehendak dan keperluan mereka, seterusnya mengambil langkah proaktif bagi menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat.
Hishammuddin juga mahu agar pemimpin politik dalam parti UMNO dan Barisan Nasional bergerak ke hadapan dengan turun ke bawah sekerap mungkin dan menyampaikan mesej-mesej yang memupuk perpaduan menerusi politik.
Beliau mahu generasi muda dalam parti dan pemimpin-pemimpin UMNO menjelaskan kepada rakyat mengapa politik menanam kebencian seperti yang dibawa oleh pihak pembangkang perlu dielakkan.
Beliau menyifatkan cara sedemikian tidak akan membawa pulangan politik yang baik atau nilai kehidupan yang selari dengan apa yang dituntut dalam Islam. -MediaUMNO


9:13 AM
ala, cakap je banyak, sekarang ni ramai melayu dah meluat tengok dia ni
10:24 AM
memang aku pun meluat
12:28 PM
samo lah den