Kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, serta peguam peribadinya, Ahmad Kamil Abdul Karim, perlu diberi keutamaan supaya semua tertuduh dapat dihadapkan ke mahkamah dengan segera.
Jenayah yang dilakukan tertuduh ke atas semua mangsa itu begitu kejam malah suspek utama sebelum ini dipercayai pernah terbabit dalam beberapa kes bunuh.
Sehubungan dengan itu, Badan Perhubungan UMNO Selangor meminta Jabatan Peguam Negara memastikan suspek terbabit dalam kes pembunuhan tersebut, didakwa di mahkamah dengan kadar segera.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata UMNO Selangor menganggap kes pembunuhan itu sebagai kejam dan mereka yang terbabit di dalam kes itu perlu dikenakan tindakan dan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan.
“Pembunuhan ini tindakan yang tidak masuk akal bukan saja pada mata keluarga mangsa, tetapi pada rakyat keseluruhannya,” katanya selepas menghadiri majlis tahlil di kediaman Allahyarhamah Sosilawati di Taman Harmonis Gombak, sebentar tadi.
Dalam masa yang sama, Noh juga mengucapkan tahniah kepada pihak polis Selangor yang tangkas dan cekap mengesan suspek. Difahamkan, pihak polis masih menjalankan siasatan, sehubungan dengan itu, UMNO Selangor meminta keluarga mangsa bersabar menunggu siasatan selesai dan diharap, tindakan segera dapat diambil terhadap pembunuh kejam tersebut. – MediaUMNO


0 Komen
Post a Comment