Khalid Tawar Diri Bertanding Timbalan Presiden PKR

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti yang dijadualkan bulan depan.

Beliau berkata keputusan itu bertujuan memperbetulkan keadaan PKR yang dilihat berada dalam keadaan berpuak-puak, termasuk kewujudan serangan peribadi terhadap sesetengah pemimpin parti berkenaan.

Katanya, keadaan itu perlu diperbetulkan segera jika parti mahu memperoleh kejayaan pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya mahu memastikan keputusan saya ini memberi kesan positif kepada parti. Justeru, saya telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menilai kesan yang akan timbul kepada pentadbiran dan perpaduan parti, jika saya bertanding," katanya kepada pemberita di kediamannya di Seksyen 7 di sini.

Abdul Khalid, yang juga Ketua Cabang PKR Kuala Selangor berkata, beliau akan menarik diri jika tawarannya untuk bertanding memberi kesan buruk kepada parti.

"Sekiranya jawatankuasa menasihatkan tawaran saya ini tidak baik untuk parti, dan ada cara yang lebih baik untuk saya berkhidmat kepada parti, saya akan akur nasihat ini," katanya.

Beliau juga melantik timbalan pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor Syed Shahir Syed Mohamud sebagai pengerusi operasi kempen pemilihannya.

Perebutan jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR sehingga kini, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Abdul Khalid, dua naib presiden PKR Mustafa Kamil Ayub dan Mohamed Azmin Ali, serta Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim.

Selain itu, perebutan jawatan berkenaan bertambah hangat apabila Zaid mengumumkan beliau sedia menarik diri dan memberi sokongan penuh jika anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan nombor dua parti itu.

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

1 Komen

  1. pertandingan nampak semakin hangat,
    entah-entah ada rusuhan lagi...haha

    p/s: mohon pasang juga link saya bersama sahabat seperjuangan.

Post a Comment