Lupakan Soal Kepartian, Tumpu Usaha Dekati Rakyat

HULU SELANGOR, 28 Jun – Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar mengingatkan semua ahli UMNO di bahagiannya agar melupakan soal politik buat seketika dan tumpukan pada usaha mendekati masyarakat.

Beliau menasihatkan agar ahli UMNO tidak leka dengan soal kepartian sehingga mengenepikan soal yang lebih penting iaitu kebajikan rakyat.

“Harus diingat, walaupun kita menang kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, tapi kita tewas merebut kerusi Parlimen dengan majoriti 198 sahaja.

“Oleh itu kita harus terus berusaha keras mendekati dan menjelaskan kepada rakyat bahawa Barisan Nasional (BN) amat menitik beratkan nasib rakyat. Kita sentiasa mendahulukan rakyat. Oleh itu, jangan mudah berasa selesa dengan apa yang telah kita lakukan. Kita harus terus berusaha agar BN dan UMNO terus diberi kepercayaan untuk mentadbir negara seterusnya merampas negeri Selangor ,” ujarnya.

Dalam ucapan penangguhannya semasa Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Selangor baru-baru ini, beliau menyarankan ahli UMNO dan pemimpin harus turun padang mendekati rakyat dalam usaha merampas semula Selangor pada PRU akan datang.

Katanya, melalui cara ini sahaja, rakyat akan lebih faham perjuangan sebenar UMNO dan BN.

Rakyat jelas beliau lagi akan sedar bahawa sepanjang tiga tahun pakatan pembangkang menerajui Selangor, rakyat telah ditipu dengan pelbagai janji manis.

“Ramai rakyat Selangor sudah makin sedar dengan sikap bermuka-muka pembangkang. Segala janji mereka semasa PRU yang lalu masih tidak ditunaikan. Hidup rakyat juga semakin terhimpit tanpa pembelaan.

“Jika kita lihat, setelah tiga tahun memerintah, kerajaan negeri masih tidak memberi jawapan di atas isu pasir yang kononnya mampu mendatangkan kutipan sebanyak lebih RM100 juta setahun kepada kerajaan negeri. Mengenai isu duit Yayasan Selangor sebanyak RM80 juta yang hilang juga terus tinggal tanda tanya.

“Setelah mereka kaut semua keuntungan untuk poket sendiri, mereka minta derma kepada rakyat kononnya untuk menampung kos pilihan raya. Ini semua adalah putar alam mereka. Ahli UMNO perlu turun padang dan menerangkan mengenai semua janji kosong pembangkang ini. Fahamkan rakyat bahawa mereka telah diperalatkan,” katanya.

Pada persidangan tersebut, seramai 900 perwakilan hadir dan ianya telah disempurnakan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.-MediaUMNO


Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment