
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan usaha dan tindakan pembangkang menyebarkan video putar belit yang tidak benar berhubung perhimpunan haram Bersih 9 Julai lalu di Internet sebagai satu kerja kotor untuk menghalalkan perbuatan mereka.
“Video yang disebarkan jelas satu pembohongan. Ianya penuh lakonan seperti pura-pura sakit malah ada yang pura-pura mati. Semua tipu muslihat pembangkang untuk menipu rakyat dan memburukkan kerajaan. Ini semua harus dihentikan.
“Internet bukan jalan untuk kita menyebarkan perkara tidak betul. Apa yang mereka lakukan itu adalah satu perkara yang dikesalkan dan saya kira, pihak berwajib perlu mengambil tindakan kalau perkara yang disebarkan di internet disahkan tidak benar dan berunsur fitnah,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Oasis Tilawah sempena Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2011 di PWTC, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri seterusnya menegaskan, di peringkat antarabangsa, Malaysia masih dkenali sebagai sebuah Negara Islam contoh dan ianya harus dikekalkan.
”Jangan hanya kerana apa yang telah terjadi pada 9 Julai yang lalu, imej negara tercalar.
“Tidak ada sebab Malaysia patut menerima nasib seperti negara-negara di Timur Tengah yang politiknya bergolak kerana kita sebuah negara yang mengamalkan demokrasi secara telus, mempunyai keluhuran pelembagaan, kedaulatan undang-undang dan pemerintahan yang baik malah ekonomi kita juga berada dalam keadaan yang baik”, katanya.
Sambil merujuk Tilawah Al Quran yang sentiasa mendapat perhatian dunia, beliau menjelaskan Malaysia sentiasa menjadi negara contoh yang sering menjadi sebutan di peringkat antarabangsa.
“Kali ini Tilawah Al Quran yang sedang berlangsung disertai oleh 65 buah Negara Islam dan saya yakin mereka pasti mampu membawa imej Malaysia yang baik apabila mereka pulang ke negara masing-masing.
”Saya amat berharap agar apa yang terjadi pada 9 Julai tidak akan berulang lagi,” katanya.
Ketika ditanya mengenai satu forum yang akan dianjurkan oleh salah sebuah akhbar tempatan bertajuk ‘Apa Selepas 9 Julai’ yang bakal menemukan Datuk Ambiga sebagai pengerusi Bersih dan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk wan Ahmad Wan Omar, beliau berkata seharusnya perkara ini tidak dibincangkan secara terbuka.
“Kita tahu bahawa Bersih adalah satu pertubuhan haram dan bila diadakan forum seperti ini dan menjemput pula Ambiga sebagai panel, ianya seakan kita mengiktiraf pertubuhan haram.
”Saya cadangkan agar akhbar tersebut meneliti semula rancangan mereka untuk mengadakan forum ini,” ujarnya. -MediaUMNO


0 Komen
Post a Comment