Mesyuarat Sulit Pakatan Pembangkang… Sahkan Pas Terpaksa Melutut Kepada DAP

Seperti dijangka Pas tidak mampu berbuat apa-apa bila berdepan dengan DAP. Ternyata apa yang dilaungkan serta apa jua amaran yang kononnya diberikan Pas tidak ubah seperti harimau dicabut gigi.

Dan mesyuarat sulit yang dikatakan menjadi platform untuk mencapai persetujuan bersama itu rupa-rupanya telah dihadiri pimpinan tertinggi antara kedua-dua parti berkenaan selain pemimpin PKR yang mungkin sekadar pemerhati bebas.

Ketika mengesahkan pertemuan pada Isnin itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata keputusan mesyuarat itu berakhir dengan “DAP dan Pas bersetuju untuk tidak bersetuju mengenai undang-undang Hudud dan Hudud bukanlah agenda bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Lim berkata, Pakatan Rakyat akan hanya melaksanakan dasar-dasar yang dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen pembangkang itu.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin ketika diminta mengenai keputusan yang sudah dijangka itu itu secara sinis mengucapkan takziah kepada Pas kerana tersungkur di kaki DAP.

“Takziahlah kepada Pas sebab apa yang diperjuangkan selama ini digagalkan dengan begitu sahaja oleh DAP dan saya nampak amat sedih perjuangan Pas tamat di situ sahaja.

“Bukankah untuk Pas hudud itu mereka kata mesti diperjuang dan dilaksanakan…jadi dalam situasi hari ini nampaknya tidak dapat dilaksanakan dan saya ucapkan takziahlah…Mereka tersungkur dengan begitu mudah sekali.

“Bagi kita, Islam adalah satu agama yang begitu sempurna serta luas dan hudud bukan segala-galanya,“ katanya.

Ketika ditanya apakah mungkin akan ada kenyataan lain selepas ini khususnya daripada kepimpinan Pas mengenai perkara itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya menambah tidak mustahil.

“Tidak mustahil benda itu…Namun sudah terserlah dalam soal hudud, Pas tewas hari ini dan bukan mereka tewas dengan UMNO tetapi dengan sekutu mereka sendiri,“ katanya.

Mstar melaporkan DAP dan Pas terus menghadapi kebuntuan berhubung kontroversi undang-undang hudud selepas mengadakan satu lagi “mesyuarat sulit” di ibu pejabat DAP di sini.

Kedua-dua parti sekutu Pakatan Pembangkang itu mengadakan pertemuan dengan PKR sebagai usaha mencari penyelesaian dalam isu rumit mengenai cadangan Pas untuk melaksanakan undang-undang Hudud di Kelantan.

Ini merupakan pertemuan kedua diadakan dalam tempoh dua minggu yang turut disertai para pemimpin tertinggi Pakatan.

Mereka termasuk ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan presiden Azmin Ali, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, pengerusi kebangsaan Karpal Singh dan Setiausaha Agung Lim Guan Eng, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali. -MediaUMNO

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment