Undang-Undang Cegah & Bendung Gejala Murtad Perlu Diwujudkan- HIMPUN

Sumber Gambar: Gerakan Anti PKR (GAP)

Perhimpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (Himpun) hari ini menyeru kerajaan untuk menggubal undang-undang khusus bagi mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam di negara ini.

Ini adalah antara 10 resolusi yang dicapai pada perhimpunan itu, selain memastikan undang-undang pencegahan yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam dalam Perlembagaan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama akta yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri," kata Pengerusi bersama Himpun Mohd Azmi Abdul Hamid pada perhimpunan itu yang diadakan di Stadium Shah Alam di sini, hari ini.

Perhimpunan yang disertai kira-kira 4,000 orang, termasuk wakil beberapa badan bukan kerajan (NGO) turut dihadiri Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Mohd Azmi juga berkata sistem pendidikan negara perlu disemak semula bagi memastikan tiada unsur yang boleh mendedahkan pelajar Islam kepada penghakisan akidah.

Beliau turut meminta semua institusi dalam masyarakat terutamanya ibu bapa untuk mengambil tanggungjawab yang tegas dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman Islam agar dapat dijadikan benteng daripada terjebak dengan kegiatan pemeseongan akidah.

Beliau berkata deklarasi yang mengandungi 10 resolusi yang berkaitan gejala murtad itu akan disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam masa terdekat.

Sementara itu pada sidang akhbar selepas perhimpunan itu, Azmi menafikan dakwaan sesetangah pihak bahawa Himpun merupakan satu agenda untuk memburukkan agama lain di negara ini.

Beliau berkata ia sebenarnya mahu memastikan umat Islam terpelihara dengan pegangan akidah Islam yang sebenar tanpa berpaling daripada agama mereka.

Gejala murtad dilihat sebagai ancaman terbesar kepada umat Islam pada hari ini kerana ia mendorong umatnya untuk bebas memilih dan menukar agama tanpa berpandukan syariat Islam, katanya.

Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment