PKR, Pas tidak pernah kisah

Sumber: Sinar Harian

Pakatan pembangkang di Selangor tidak per­nah kisah siapa pun menjadi men­teri besar kerana matlamat utama mereka hanya untuk me­mas­tikan Umno dan Barisan Nasi­onal (BN) di negeri itu hilang kuasa dengan cara apa sekalipun.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, sekiranya DAP meletakkan calon Melayu sebagai menteri besar, PKR dan Pas akan tetap memberi sokongan tanpa memikirkan hak rakyat dan masa depan negeri ini.

“Perlembagaan menetapkan orang Melayu boleh menjadi menteri besar. Tetapi sekiranya parti itu me­ngemukakan calon Melayu, pasti akan mendapat soko­ngan daripada Pas dan PKR. Tidak mustahil parti itu pasti menjadikan Perak sebagai pengajaran untuk meletakkan lebih ramai calon Melayu pada pilihan raya umum akan datang agar boleh menjadi menteri besar,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar ini semalam bahawa DAP dikatakan mempunyai cita-cita besar untuk menduduki kerusi Menteri Besar Selangor dan Perak sekiranya pakatan pembangkang mengekalkan kuasa di negeri itu.

Laporan memetik daripada sumber dalaman pakatan pembangkang itu menyebut DAP didakwa mengatur strategi dengan meletakkan calon Melayu di beberapa kawasan di kedua-dua negeri itu.

Noh berkata, walaupun DAP tidak menjadi menteri besar di negeri ini, namun beberapa exco kanan dari parti itu begitu berkuasa sehingga menyebabkan pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi ’boneka’.

“Banyak contoh boleh dilihat antaranya rampasan arak oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menimbulkan kontroversi kerana terpaksa dipulangkan ke premis asal selepas diarah exco dari parti itu.

“Ini memperlihatkan bahawa beberapa exco dari parti itu menguasai pentadbiran Kera­ja­an Negeri yang diterajui PKR kerana mereka banyak mempengaruhi keputusan dan arahan dibuat Abdul Khalid sebagai menteri besar,” katanya.

Malah katanya, tindakan seorang Adun daripada parti itu mahu golongan profesional dilantik bagi menasihati Sultan Selangor adalah bukti pemimpin daripada DAP tidak menghormati institusi diraja.

“Baru menjadi Adun biasa sudah berani mempertikaikan kuasa sultan. Kita boleh bayangkan kalau pemimpin daripada parti itu menjadi menteri besar kelak. Pas pula sanggup menukar perjuangan untuk menubuhkan negara berkebajikan kerana mahu menjaga hati pemimpin DAP.

“Malah Pas juga sanggup mengorbankan wakil rakyat seperti Datuk Dr Hasan Mohd Ali untuk tidak dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang bagi memuaskan hati rakan mereka itu kerana banyak tindakan Hasan yang tidak disenangi DAP,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan pemberian peruntukan kepada sekolah agama rendah (SAR), sekolah jenis kebang­saan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) oleh kerajaan pakatan pembangkang yang disifatkan sebagai tidak adil.

“SAR dan SJKC mendapat RM6 juta manakala SKJT pula RM4 juta. Di mana sebenarnya keadilan yang dilaungkan oleh pakatan pembangkang? Kalau adil, sudah tentu semua dapat RM6 juta tetapi kenapa SJKT hanya dapat RM4 juta sedangkan jumlah SKJC dan SJKT di negeri ini tidak jauh beza? Ini sudah tidak adil.

“Sepatutnya semua dapat sama rata. Saya tidak pasti formula yang mereka pakai sehingga SJKT dapat kurang daripada SJKC,” katanya.

Sepatutnya kata Noh, SAR perlu dapat lebih banyak peruntukan kerana jumlah sekolah lebih banyak..

”Ini membuktikan bahawa pakatan pembangkang sendiri tidak mampu membuktikan keadilan peruntukan dalam pentadbiran mereka,” katanya.

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment