Hisham Harap Kekal Bertanding Di Sembrong, Tolak Dakwaan Pindah Parlimen Pada PRU-13



Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Sembrong merangkap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersedia untuk kekal bertanding di Parlimen Sembrong, sekaligus menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu yang menabur fitnah kononnya Hisham akan berpindah bertanding di Parlimen lain pada Pilihanraya Umum ke-13.

Beliau meminta semua pihak khususnya pengundi-pengundi Si Sembrong agar tidak termakan dengan dahyah dan fitnah yang dilakukan semata-mata untuk memporak-perandakan BN di Parlimen Sembrong.

“Kalau ada orang katakan yang saya akan bertanding di kawasan lain, jangan percaya. Inilah keluarga saya, inilah jentera saya, inilah yang akan bersama-sama saya bila Datuk Seri Najib mengumumkan Pilihanraya Umum ke-13 dan mereka inilah yang akan perang habis-habisan untuk mengangkat, menjulang dan memastikan calon-calon kita menang,” ujarnya ketika melancarkan jentera Gerak Gempur Pemuda BN Sembrong  di Dewan Kejora, Taman Seri Lambak di sini.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam ucapan perasmiannya turut mengisytiharkan pelancaran jentera pilihanraya Pemuda BN Sembrong ini sebagai titik mula terhadap gerakan bersepadu Pemuda BN Sembrong bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Ujarnya, Pergerakan Pemuda UMNO harus berani dan mengempur pengkhianat agama, bangsa dan penderhaka kepada negara yang sanggup mengadaikan segalanya semata-mata untuk jawatan, kedudukan dan tempat di Putrajaya. Seseorang yang hari ini menyokong Israel, yang sanggup melaga-lagakan dan menfitnah pemimpin kita, yang sanggup tidur sebantal namun mimpi berbeza-beza dan yang sanggup menggunakan isu perkauman demi meraih simpati.

“Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncunya akan menghancurkan Negara kita dan Pemuda sudah melalui segala-galanya. Pemuda sebelum ini sudahpun melalui ujian-ujian getir, oleh itu Pemuda Sembrong memahami tugas dan tanggungjawab dan yang lebih penting menghadapi segala ujian yang akan kita hadapi hari ini. Ianya merupakan ujian yang bukan mudah untuk kita tangani.

Kita di Sembrong harus bergerak sebagai satu pasukan, dengan syarat anak-anak muda kita harus setia bersama Barisan Nasional, dengan syarat anak-anak muda di hadapan saya ini menjadi benteng kepada mereka yang hendak serang kita di Sembrong,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Sembrong.

Tambahnya, Pilihan Raya Umum ke-13 merupakan ujian yang paling getir yang bakal dihadapi UMNO dan BN. Ujian yang bakal dihadapi kelak, bukan perkara yang mudah, oleh itu Pemuda BN Sembrong diingatkan agar memastikan semua jentera Pemuda BN harus jadi pengundi BN dan dalam masa yang sama merupakan benteng utama dalam menempuh segala cabaran yang mendatang.

“Bergerak di atas bumi yang nyata, bergaya dalam keadaan kita susah, merancang dengan tepat kerana pihak musuh tidak akan memberi simpati kepada kita. Kalau mereka sanggup mengadaikan bangsanya sendiri, kalau mereka sanggup mengadaikan agamanya sendiri, kalau mereka tergamak melaga-lagakan kaum-kaum di Malaysia ini, kalau mereka sanggup menfitnah mereka yang seagama dan sebangsa dengannya, yang sanggup keluar Negara dan sanggup memburuk-burukkan Negara sendiri, mana mungkin mereka akan selamatkan Pergerakan Pemuda, manakan mereka ada simpati pada Wanita dan Barisan Nasional,” ujarnya lagi.

Selain Pengerusi Pemuda BN Sembrong, Mohd Ariffin Nan@Adenan, turut hadir pada majlis Pelancaran Jentera Sedia Gempur Pemuda BN ialah ADUN Paloh Hoo Seang Chang, dan ADUN Kahang R. Vidyananthan.  

Hishammuddin seterusnya berkata dengan persiapan yang mantap dan perpaduan kukuh yang ditunjukkkan jentera Pemuda BN setakat ini, pihaknya yakin calon BN bukan sahaja akan mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong, DUN Paloh dan DUN Kahang, malah akan mencapai kemenangan besar pada PRU-13 kelak.

“Peranan jentera Pemuda BN begitu penting kerana majoriti pengundi hari ini adalah di kalangan golongan muda. Pemuda BN sebagai barisan hadapan dan pemimpin pelapis masa depan, di bahu Pemuda BN terletak harapan bagi memastikan BN diberikan mandat bagi meneruskan pemerintahan dan membawa kemajuan negara secara berterusan,” tambahnya lagi.

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment