Kerajaan negeri Terengganu memberi amaran
kepada mereka yang dianggap cuba 'bermain api' untuk memurtadkan umat Islam
termasuk orang kelainan upaya (OKU) di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata,
mereka yang terlibat harus menghormati umat Islam dan menghentikan perbuatan
yang bertentangan dengan perlembagaan negara yang dikhuatiri akan mencetuskan
ketegangan kaum dan agama.
"Gerakan itu sangat serius dan
perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak khususnya Jabatan Hal Ehwal
Agama Terengganu (JHEAT)...JHEAT perlu mengemukakan laporan kepada kerajaan.
Kita juga minta kerjasama masyarakat Islam yang tahu mengenainya agar memaklumkan
kepada pihak berwajib.
"Perkara ini adalah isu yang
sensitif, ini soal yang serius. Jangan cuba bermain api," katanya kepada
pemberita selepas melawat kanak-kanak mangsa kemalangan jalan raya, Iman Adam
Raman, 9, yang lumpuh di Kampung Kebor Besar dekat sini hari ini.
Ahmad berkata demikian ketika diminta
mengulas pendedahan JHEAT baru-baru ini bahawa wujud pihak tertentu yang
bergerak aktif dalam usaha memurtadkan umat Islam di negeri itu termasuk OKU.
Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Rozali Saleh
ketika mendedahkan perkara itu baru-baru ini berkata gerakan itu turut menyusup
ke hospital-hospital untuk memperdaya para pesakit yang sebatang kara selain
mat-mat rempit dan golongan tidak berkemampuan.
Mohd Rozali turut meluahkan
kebimbangannya dengan gejala itu dan menurutnya tindakan sewajarnya akan
diambil bagi membendungnya daripada menjadi bertambah serius.
Ahmad bagaimanapun menjelaskan pihaknya
masih belum menerima laporan terperinci mengenai perkara itu daripada JHEAT.
Sumber Gambar: teganukita.blogspot.com/
0 Komen