Seramai 40 anggota Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak)
dilantik sebagai fasilitator kepada kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
(DUN) di Selangor bagi membantu memperkukuh jentera pilihan raya Barisan
Nasional (BN) untuk memenangi semula Selangor pada pilihan raya umum (PRU) akan
datang.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh
Omar berkata anggota Mubarak yang terpilih menjadi fasilitator kepada 22
kawasan Parlimen dan 56 DUN akan bertindak sebagai "bapa" yang akan
memberi nasihat dan membantu menyelesaikan masalah yang timbul di kawasan yang
dipertanggungjawabkan kepada mereka.
"Fasilitator ini telah dilantik oleh Perdana Menteri dan
mereka sebagai tokoh yang disegani akan berperanan sebagai ayah kepada kami di
mana mereka akan membimbing dan membantu menyelesaikan masalah jika ada,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-9
Mubarak Selangor di Bangunan UMNO Selangor di sini petang ini.
Turut hadir ialah Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin
Mohamed, Yang Dipertua Mubarak Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar yang juga
bekas Menteri Besar Selangor, dan seorang lagi bekas Menteri Besar Selangor,
Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Pada majlis itu, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas
Tani menyampaikan surat pelantikan kepada 40 anggota Mubarak yang dilantik sebagai
fasilitator itu.
Beliau berkata Mubarak kepemimpinan BN Selangor sepakat untuk bekerjasama
sebagai satu pasukan untuk menguatkan jentera parti bagi menghadapi PRU ke-13
akan datang.
Noh juga melahirkan rasa terharu dengan kehadiran semula Muhammad
yang dilantik sebagai Anggota Jawatankuasa Biro Politik Mubarak Selangor bagi melaksanakan
tanggungjawab mendekati kumpulan profesional dan korporat supaya memberikan
sokongan kepada BN.
"Saya amat yakin dengan adanya kerjasama daripada Mubarak, BN
akan memenangi semula PRU di Selangor apatah lagi dengan kekuatan pemimpin
Mubarak terutama dua bekas Menteri Besar Selangor, Abu Hasan dan
Muhammad," katanya.
Abu Hassan berkata Mubarak Selangor telah lama memberikan bantuan
kepada BN selepas dilantik sebagai ahli Majlis Muafakat Parlimen pada
penghujung 2010.
Terdahulu dalam ucapannya, Noh berkata tidak wujud sebarang kem
dan kelompok "war lord" dalam Badan Perhubungan UMNO Selangor dan BN
di negeri itu.
9:11 AM
Semoga perjuangan BN/UMNO diberkati dan dipermudahkan oleh Allah.InsyaAllah