Gambar Hiasan: DS Najib Lahirkan Keyakinan UMNO dan BN mampu mengharungi ujian dalam mengembalikan semula kekuatan politik pada PRU13. |
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
melahirkan keyakinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu mengharungi ujian
yang dihadapi ketika ini sekali gus menjamin akan mengembalikan semula kekuatan
politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Beliau berkata sejarah telah membuktikan UMNO
dan BN sejak mula ditubuhkan lagi telah diuji pelbagai ujian, namun kesemuanya
berjaya dihadapi sehingga BN mampu meneruskan kelangsungan pemerintahan
sehingga kini.
Katanya, parti telah mengalami lima krisis besar
sejak penubuhannya termasuk pengasasnya Datuk Onn Jaafar keluar dari UMNO dan penubuhan
parti Negara, tragedy berdarah 13 Mei dan parti UMNO diharamkan.
Selain itu, gerakan reformasi dan demonstrasi
jalanan pada tahun 1998 selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menguji
kekuatan parti selain tsunami politik dalam PRU 2008 yang menyebabkan BN
kehilangan lima negeri serta majoriti dua pertiga.
"Sejarah parti ada beberapa detik
sebelum ini yang boleh dijadikan sebagai pengajaran setiap kali kita berdepan
dengan krisis iaitu dengan kembali kepada asas kekuatan kita.
"Situasi ini hampir sama dengan keadaan pada
1999 di mana kita terpaksa melakukan pemulihan UMNO dan BN, jadi dalam situasi
seperti itu kita kena melakukan sesuatu yang boleh menjamin kelangsungan kuasa
kita kerana kita mempunyai banyak agenda besar untuk negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita
selepas melancarkan Program Jelajah Sayang 1Malaysia Wanita BN, di Stadium
Perbandaran Pasir Gudang, di sini hari ini, yang dihadiri oleh hampir 20,000
orang terdiri daripada Wanita UMNO dari peringkat cawangan di seluruh negara
serta sayap wanita BN.
Turut hadir isterinya Perdana Menteri Datin
Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri
Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Najib yakin BN akan melepasi ujian dalam PRU
kali ini dan parti kini sedang melakukan pelbagai usaha untuk menambah kekuatan
dalaman termasuk kekuatan hubungan dengan rakyat.
"Kekuatan kita dengan rakyat bergantung
kepada keyakinan rakyat sebab itu kita buat pelbagai usaha yang patut
dilakukan," katanya.
Sementara itu mengulas mengenai ucapan Shahrizat
dalam majlis itu yang mahukan wanita diberikan lebih kerusi dalam Dewan
Undangan Negeri (DUN), Najib berkata pemilihan calon bukan dilakukan atas faktor
jantina.
Sebaliknya, katanya ia dilakukan dengan mengambil
kira kesesuaian kawasan serta faktor calon yang dipilih itu mampu menang di
kawasan yang ditandingi.
"Kita kena tengok keadaan, kena tengok
mikro juga walaupun nak tambah kerusi (wanita), kena tengok kesesuaian kawasan
berdasarkan calon yang boleh menang dan kena memastikan sesiapa saja yang jadi
calon boleh menang," katanya.
Ditanya sama Menteri Besar dan Ketua Menteri
dari BN telah diarahkan menyerahkan nama calon yang difikirkan layak bertanding
pada PRU ke-13, Najib berkata ia merupakan rahsia parti.
0 Komen