Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk
Seri Noh Omar membantah cadangan kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih
pengurusan Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) di sini.
Beliau berkata ini kerana Kerajaan Pusat menerusi kementeriannya
telah memperuntukkan kira-kira RM161 juta bagi menjayakan Pelan Induk TBNSA
ke arah menjadikannya sebuah pusat agro pelancongan utama negara.
"Saya diberitahu kerajaan negeri Selangor sedang dalam
perbincangan mengambil alih pengurusan Taman Botani di sini atas alasan
peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan pusat bagi tujuan membangunkan taman
pertanian ini tidak mencukupi," katanya dalam satu sidang akhbar selepas
mengadakan lawatan ke TBNSA hari ini.
Noh mendakwa kerajaan Selangor turut bercadang untuk menjual tanah
TBNSA seluas 40 hektar bagi mencari dana berjumlah RM100 juta bagi menampung
kos operasi taman itu sekiranya mereka mengambil alih pengurusannya.
Sehubungan itu, Noh meminta kerajaan negeri Selangor segera
menandatangani perjanjian pajakan untuk tempoh 60 tahun bagi membolehkan
kementerian membangun dan mengurus taman botani itu.
Noh berkata ini kerana kerajaan negeri terdahulu (BN) bersetuju
memajakkan tanah itu seperti mana yang terkandung dalam perjanjian persefahaman
(MoU) yang dimeterai antara kementerian dan kerajaan negeri pada 2006 untuk
membangunkan TBNSA.
"Dalam MoU itu, kerajaan Selangor antara lain boleh
memberikan kelulusan kepada kementerian menyambung tempoh pajakan tanah selama
60 tahun untuk mengendalikan taman pertanian itu tetapi belum ada sebarang
perjanjian seumpama itu ditandatagani sehingga kini," katanya.
Noh berkata Kerajaan Pusat sudah membelanjakan RM236.04 juta bagi
membiayai pembangunan dan menampung kos pengurusan taman itu sejak ditubuhkan
pada 1986 ketika dikenali sebagai Taman Pertanian Bukit Cerakah.
0 Komen