Perang Kecil Sebelum Perang Besar


gambar hiasan: namun realitinya, mereka nie tidur sebantal tapi mimpi lain-lain
Perang mulut mengenai isu pembahagian kerusi pilihan raya antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Terengganu merupakan ‘perang kecil’ sebelum berlakunya pertelagahan lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tidak lama lagi.

Perkara itu tidak mengejutkan kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Khazan Che Mat, malah sejak dahulu lagi gabungan parti itu tidak mempunyai pemuafakatan antara satu sama lain.

Beliau berkata, hakikat itu jelas apabila parti-parti dalam pakatan tersebut bertelagah sesama sendiri secara terbuka berhubung siapa dan berapa kerusi yang patut diperoleh menjelang PRU ke-13 kelak.

Malah, beliau menjangkakan kemelut tersebut akan turut merebak ke negeri-negeri lain ekoran ketiadaan kesepakatan antara kepimpinan dalam pakatan yang beliau sifatkan sebagai rapuh.

"Rakyat menjadi pemerhati kepada perkembangan itu yang menunjukkan terdapat perasaan tidak puast hati. Walaupun dalam pilihan raya lalu dimaklumkan perkara itu sudah selesai, tetapi mereka berbalah semula.

"Ini membuktikan pakatan ini sebenarnya tidak berpakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Fatwa dan Falak anjuran Jabatan Mufti negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun semalam.

Kemelut itu bermula apabila beberapa pemimpin PAS negeri mula mempertikai dan menyindir tindakan PKR negeri yang diketuai Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang, Azan Ismail mengumumkan untuk bertanding di tiga kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN di Terengganu.

Beliau mengulas kemelut antara PAS dan PKR berhubung pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini yang menjadi perebutan antara kedua-dua parti dalam Pakatan Rakyat itu.

Khazan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO negeri berkata, senario itu tidak berlaku dalam Barisan Nasional (BN) yang menekankan semangat muafakat bagi menentukan formula pengagihan kerusi memberi keadilan kepada semua parti komponen.

Beliau bagaimanapun berkata, BN tidak mahu mencampuri kemelut tersebut sebaliknya bersedia untuk bertanding dengan mana-mana calon pakatan pembangkang tanpa mengira tempat.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.