Gambar Hiasan: Datuk Razali Ibrahim & Datuk Zainal Abidin Hassan |
Kementerian Belia dan Sukan
yakin sasaran untuk menghimpunkan lebih dua juta belia dalam program Himpunan
Jutaan Belia di Putrajaya pada 23 Mei ini akan dapat dicapai.
Timbalan Menteriya Datuk Razali Ibrahim
berkata ia akan menjadikan program selama lima hari yang akan dirasmikan oleh
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu sebagai 10 perhimpunan terbesar
dunia tahun ini.
"Dalam Himpunan Jutaan Belia tahun lepas,
kita dapat mengumpul 1.2 juta orang belia dalam tempoh tiga hari, tetapi kali
ini himpunan itu akan diadakan selama lima hari dan lebih dua juta belia dijangka
akan menghadirinya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival
Belia Daerah Muar di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.
Beliau sebelum itu berbasikal mengelilingi
Bandar Diraja Muar bersama Pegawai Daerah Muar Amran Othman dan lebih 300 orang belia dan beliawanis di
daerah itu.
Katanya dalam himpunan tahun lepas hanya
terdapat 200 program dan kali ini ia ditambah kepada 500 segmen dengan 1,000
aktiviti.
"Kita juga menyediakan 23 pentas untuk
membolehkan belia mengadakan aktiviti pentas sepanjang program itu,"
katanya.
Razali yang juga merupakan Anggota Parlimen
Muar berkata mengikut perangkaan, program tahun lepas turut menyumbang 0.014
peratus atau RM102 juta daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)daripada
aktiviti perniagaan selama tempoh tiga hari itu.
Beliau yakin jumlah itu akan dapat
dipertingkatkan pada tahun ini memandangkan tempoh himpunan tersebut
dipanjangkan kepada lima hari.
Sementara itu Razali berkata Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan merasmikan sambutan Hari Belia
Negara pada 15 Mei depan.
0 Komen