Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa Pakatan
Rakyat (PR) tidak yakin mampu untuk menjana ekonomi negara dan itu sebabnya
mereka mahu memansuhkan kemudahan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) dan pendidikan percuma kepada pelajar institut pengajian
tinggi awam (IPTA).
Sebelum ini PR telah melancarkan beberapa manifesto jika menang
pilihan raya akan memberi pendidikan percuma kepada rakyat terutama kerajaan di
bawah naungan mereka.
"Pakatan Rakyat tidak yakin dengan pemerintahan mereka dan
mereka tak boleh bagi keyakinan pada rakyat," hujah Khairy pada debat bersama Pengarah Strategi
PKR, Rafizi Ramli anjuran Sinar Harian di sini, sebentar tadi.
Memetik hujah Rafizi yang sebelumnya mengatakan bahawa hutang
negara akan meningkat dari tahun ke tahun jika PTPTN diteruskan dan pendidikan
di peringkat tinggi tidak dihapuskan akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat
pada 10 tahun akan datang.
Khairy turut mengulas hujahnya dengan memberi keyakinan bahawa
kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus meningkatkan ekonomi rakyat Malaysia
melalui pelbagai langkah yang telah dilaksanakan sekarang.
Sebelum ini, dalam kenyataan media, Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak telah mengumumkan gaji minimum, yang dinanti-nantikan oleh
hampir lima juta pekerja sejak lebih setahun lalu, dengan kadar antara RM800
hingga RM1,000.
Najib turut melaksanakan durian runtuh kepada peneroka yang
berjumlah RM15,000 pada setiap seorang peneroka Felda pada Mei lalu.
"Keyakinan BN dapat ditingkatkan melalui peningkatan gaji
serta memberi peluang pekerjaan kepada graduan selepas tempoh enam bulan
menamatkan pelajaran.
"BN juga berkeyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi dari
semasa ke semasa di bawah pemerintahan kerajaan BN sekarang," kata beliau
lagi.
0 Komen