Parti Keadilan Rakyat (PKR) dicabar agar
mendesak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatannya sebagai Menteri
Besar Selangor dan keahliannya daripada parti itu kerana masih berstatus ahli
UMNO.
Setiausaha Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia
(Gagasan) Selangor, Mohd. Faizal Mohd. Salleh berkata, berdasarkan sebuah laman
blog, sahabat-gunung.com, Abdul Khalid yang bernombor kad pengenalan
461214-10-5273 adalah ahli UMNO yang memegang nombor keahlian 01791393 bagi
cawangan Pasir Tuntong yang terletak di bawah UMNO Bahagian Kuala Selangor.
‘‘Justeru, kita cabar PKR supaya mendesak
Abdul Khalid meletak jawatannya termasuk keahlian dalam parti pembangkang itu.
‘‘Jika sebelum ini PKR mendesak Pengerusi dan
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan atas tuduhan
kononnya mereka ahli UMNO, kenapa mereka tidak mempersoalkan kedudukan Abdul
Khalid dengan parti pemerintah itu," katanya ketika dihubungi di sini hari
ini.
Tambahnya, pihaknya kesal dengan sikap
pemimpin pembangkang yang dikatakan sering menyebarkan fitnah khususnya kepada
generasi muda untuk mencapai agenda politik mereka.
Katanya, tidak cukup dengan dakyah yang cuba
diserap dalam perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini, pembangkang juga turut
melakukan serangan terhadap SPR yang mengaitkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul
Aziz Mohd Yusof dan Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dengan UMNO.
‘‘Apa yang mereka (pembangkang) lakukan itu
adalah sangat tidak bertanggungjawab. Kita lihatlah hari ini bagaimana Bersih
3.0 dicemari dengan insiden keganasan yang telah menyusahkan pelbagai pihak.
‘‘Begitu juga dengan tuduhan mereka kononnya
Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR adalah ahli UMNO sebenarnya terbukti
adalah fitnah semata-mata," jelasnya.
Ini kerana berdasarkan laporan media, tuduhan
mereka terhadap Abdul Aziz dan Wan Ahmad itu disahkan tidak benar sama sekali.
- Utusan Malaysia
0 Komen