Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa isu scorpene adalah isu
paling hebat yang boleh dimainkan oleh pembangkang dalam menuju pilihanraya
yang akan datang. Dalam kebanyakan isu-isu lain, pembangkang begitu mudah
terkantoi atau tertembak kaki sendiri kerana terlalu mudah untuk dipatahkan.
Tetapi, apabila sesuatu isu membabitkan angka dan juga pihak luar
negara seperti pembelian kapal selam scorpene dari Perancis, ia akan lebih
mudah untuk dimanipulasi untuk mengelirukan rakyat. Alasan seperti bukti tidak
boleh dikemukakan kerana berada di tangan mahkamah Perancis memudahkan
pembangkang mempermainkan rakyat.
Justeru, segala tuduhan dibuat sewenang-wenang oleh mereka tanpa
perlu membuktikan apa-apa.
Memetik kata-kata Cynthia Gabriel, Penyelaras SUARAM sebelum ini,
beliau menyatakan, "Kes ini spesifik kepada pemberian komisen 114 juta
Euro yang diberikan kepada syarikat Perimekar." Jelas, jumlah yang menjadi
pertikaian ialah EURO 114 juta dalam transaksi pembelian kapal selam ini.
Tetapi, apabila pihak kerajaan menjustifikasi jumlah itu sebagai
bayaran untuk khidmat penyelenggaraan, koordinasi dan sokongan kepada syarikat
Perimekar, SUARAM tiba-tiba menukar angkanya.
Kini, angka yang disebut sebagai rasuah bukan lagi EURO 114.96
juta atau RM410.27 juta tetapi USD 1 bilion atau RM3.8 billion pula. Menurut
SUARAM, mereka mempunyai bukti bahawa Dato' Seri Najib, pada ketika itu Menteri
Pertahanan, ada meminta jumlah tersebut untuk dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd
sebagai komisyen.
Adalah penting untuk kita memberi perhatian kepada angka-angka
yang disebut di sini kerana tidak mustahil pihak SUARAM dan pembangkang akan
menukarnya sekali lagi apabila terkantoi.
Perlu diingatkan bahawa nilai keseluruhan kontrak ialah EURO 1.084
billion atau RM3.87 billion. Ia merangkumi harga 2 kapal selam scorpene
termasuk pakej Integrated Logistic Support dan latihan krew bernilai EURO
969.15 juta. Selebihnya EURO114.96 juta ialah bayaran kepada Perimekar untuk
khidmat penyelenggaraan, koordinasi dan sokongan.
Kesemua dokumen jual beli dan penerimaan wang dibuat secara
mengikut prosedur dan boleh dikemukakan sebagai bukti.
Jika benar Dato' Seri Najib ada meminta sebanyak RM3.8 billion
bermakna kapal selam tersebut telah diberikan secara percuma kepada Malaysia.
Ini kerana mengikut nilai tukaran matawang pada ketika kontrak tersebut
dimeterai iaitu 5 Jun 2002, adalah seperti berikut: USD 1 bill = EURO 1.06 bill
= RM3.80 bill.
Memandangkan keseluruhan bayaran kontrak berjumlah EURO1.08
billion sahaja, maka keseluruhan bayaran yang dibuat tersebut adalah berupa
rasuah dan urusan jualbeli kapal selam hanyalah ilusi semata-mata.
Nampak benar SUARAM hanya bermain-main dengan angka untuk
mengelirukan rakyat yang mungkin kurang berminat untuk menghalusi fakta dan
angka.
Sudah sampai masanya rakyat Malaysia membuka mata dan
memperincikan segala maklumat yang diterima agar tidak mudah dipermainkan oleh
pihak-pihak yang ingin melemahkan kerajaan semata-mata untuk mencapai matlamat
mereka untuk berkuasa.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
6:19 PM
Kenyataan Rasmi TLDM..
"..Berhubung dengan perolehan kapal selam Scorpene, Kementerian Pertahanan ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya kerajaan telah membayar komisen sebanyak RM540 juta kepada Encik Abd Razak Baginda merupakan satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali.
Kementerian juga ingin menegaskan bahawa dalam soal perolehan kapal selam Scorpene, TIDAK ADA sebarang komisen yang dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn. Bhd. seperti yang didakwa. Ini kerana perolehan kapal selam telah dibuat secara rundingan terus – selaras dengan tatacara perolehan kerajaan – dengan syarikat pembuat iaitu ARMARIS (Perancis) dan NAVANTIA (Sepanyol) yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing.
Sebaliknya, syarikat Perimekar Sdn. Bhd. yang didakwa menerima komisen, sebenarnya diberikan kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi untuk tempoh selama enam tahun. Nilai kontrak tersebut adalah sebanyak EURO 114.96 juta, yang dibayar secara berperingkat-peringkat mengikut kemajuan pelaksanaan projek.
Perimekar Sdn Bhd dimiliki bersama oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad dan K.S.Ombak Laut Sdn. Bhd.
Skop kerja perkhidmatan sokongan adalah seperti berikut:
1. Menyediakan kemudahan kediaman beserta kelengkapan untuk tim projek bagi 27 keluarga di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh enam tahun.
2. Menyediakan pejabat urusan dan kediaman beserta kelengkapan bagi krew kapal selam TLDM seramai 156 orang untuk tempoh empat tahun di Perancis dan Sepanyol.
3. Menyediakan insurans kesihatan bagi anggota serta keluarga tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol
4. Membayar elaun harian dan elaun krew kapal selam sebanyak EURO 50 sehari seorang untuk tiga tahun pertama dan EURO 60 sehari seorang untuk tiga tahun kedua.
5. Membiayai kos penerbangan pergi dan balik bagi setiap krew kapal selam untuk balik bercuti ke Malaysia pada setiap 4 bulan (tiga kali setahun).
6. Lain-lain keperluan tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol
Perkhidmatan koordinasi pula melibatkan:
1. Bertanggungjawab memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat-syarikat Malaysia yang berpotensi untuk menyertai program off-set.
2. Membantu kontraktor utama dalam memberi maklumat tentang prosedur kerajaan berhubung perlaksanaan kontrak.
3. Menyelaras latihan krew kapal selam antara kontraktor dengan kerajaan.
4. Menyediakan laporan koordinasi setiap enam bulan.
Jumlah kontrak EURO 114.96 juta bukanlah merupakan keuntungan bersih milik syarikat Perimekar Sdn Bhd., sebaliknya jumlah ini adalah meliputi segala pembayaran kos langsung bagi skop perkhidmatan sokongan dan tanggungan ke atas kos tidak langsung bagi perkhidmatan koordinasi seperti yang ditetapkan dalam kontrak tersebut.
Kementerian Pertahanan membuat keputusan untuk melantik sebuah syarikat tempatan bagi menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi kerana kaedah tersebut dianggap lebih sesuai dan berkesan. Ia juga bagi tujuan melicinkan kerja-kerja Tim Projek membuat pemantauan ke atas pembinaan dan latihan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol.
Selain itu, segala perbelanjaan untuk projek kapal selam ini dapat dikawal dan dijadualkan manakala perbelanjaan di luar jangka (cost over-run) dapat dielakkan memandangkan pelaksanaan projek perolehan kapal selam memakan tempoh masa yang panjang iaitu selama enam tahun serta melibatkan bilangan anggota yang ramai.
Berdasarkan kepada keperluan tersebut, maka syarikat Perimekar Sdn. Bhd. telah dilantik untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan mengikut skop kerja yang ditetapkan....."
"....Dengan penjelasan ini, maka Kementerian Pertahanan berharap agar semua pihak memahami keadaan sebenar dan tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Malaysia.
Cawangan Perhubungan Awam
Kementerian Pertahanan Malaysia
Kuala Lumpur...." 26 April 2007