Penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal berhadapan
dengan krisis air jauh lebih teruk daripada apa yang yang pernah dialami pada
1998 jika kekurangan bekalan air terawat tidak diselesaikan segera.
Timbalan Presiden Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur,dan
Putrajaya (SWAn) Aldric Loong Kim Yew berkata ini berdasarkan data mingguan
yang dikeluarkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Puncak
Niaga (M) Sdn Bhd, operator agihan dan pengendalian pengeluaran air di
Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bahawa permintaan air telah meningkat.
“Permintaan air secara puratanya telah meningkat ke tahap 4,329
juta liter sehari berbanding dengan kapasiti pengeluaran maksimum semua Loji
Rawatan Air (LRA) sebanyak 4,371 juta liter sehari.
“Ini jelas menunjukkan bahawa kini hampir tiada rizab lagi untuk
menampung sebarang peningkatan permintaan bekalan air terutama sewaktu
permintaan puncak, dengan permintaan meningkat setinggi lebih 7 peratus
daripada purata permintaan air harian,” katanya ketika ditemui pemberita semasa
kempen derma darah SWAn di Pusat Darah Negara, di sini pada Selasa.
Loong berkata sesetengah penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur
sudah mula mengalami gangguan bekalan air dan tekanan air rendah akibat
kekurangan bekalan air terawat.
Loong berkata kerajaan Selangor dilihat langsung tidak memahami
keadaan bekalan air yang melanda pada masa ini dan asyik mengeluarkan kenyataan
bahawa kedudukan paras air di empangan Selangor penuh dan mencukupi.
“Apa yang dipertikaikan sekarang adalah mengenai kekurangan
bekalan air terawat dan keperluan meningkatkan sumber air serta membina LRA
tambahan untuk menampung permintaan air yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata empangan yang penuh tidak semestinya mempunyai
bekalan air yang mencukupi malah ia bergantung kepada reka bentuk hidrologikal
empangan dan air mentah di empangan itu mesti dirawat dahulu sebelum ia dapat
disalurkan kepada pengguna.
Loong berkata berkata masalah ini boleh diselesaikan sekiranya
pihak-pihak yang berkaitan berkumpul dan berbincang cara mengatasi masalah ini
bersama.
“Pihak SWAn mendesak kerajaan Persekutuan, Kementerian Tenaga,
Teknologi Hijau dan Air memberikan perhatian penuh dan mengambil
langkah-langkah jitu untuk menyelesaikan isu penting ini secepat mungkin,”
katanya.
0 Komen