Peniaga di kalangan
golongan orang kelainan upaya (OKU) digesa membabitkan diri secara aktif di
dalam persatuan supaya pelbagai aktiviti dapat dirancang untuk mereka selain
meningkatkan sumber pendapatan menerusi peluang yang terhasil.
Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan
Usahawan (BePU) Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan berkata,
ia secara tidak langsung dapat menghindarkan mereka daripada terus berasa
rendah diri dengan kekurangan yang dimiliki sebaliknya memberi tumpuan kepada
kegiatan diusahakan demi mengubah taraf kehidupan masing-masing.
“Pada masa ini rekod menunjukkan golongan OKU
masih kurang menyertai apa juga persatuan terutama yang khusus kepada mereka
menyebabkan sering terpinggir daripada arus semasa. Peluasan skop kemahiran
kendiri perlu dilakukan dengan memperbanyakkan aktiviti berkaitan pengurusan
perniagaan yang bermanfaat kepada mereka serta keluarga.
“Kita lihat, mereka masih lagi bersikap
rendah diri sedangkan mempunyai kelebihan deria istimewa berbanding manusia
normal. Jika ia digilap, pasti akan membuahkan hasil yang lebih baik seperti
penubuhan koperasi OKU dan sebagainya,” katanya pada majlis Nur Ramadan bersama
Persatuan Peniaga-Peniaga Cacat Selangor yang turut dihadiri penaungnya, Abdul
Malik Abdullah serta 50 peniaga OKU sekitar Selangor, di sini, malam tadi.
Beliau yakin kumpulan ini mampu melakukan
lebih baik daripada apa yang ada sekarang kerana ramai yang sudah berjaya. Cuma
jika digilap sedikit dan diketahui masalah mereka secara lebih tepat, mungkin
ia dapat diselesaikan.
“Kita akan membantu memberikan motivasi serta
bertukar-tukar pandangan dengan peniaga terbabit sebagai usaha membantu mereka
keluar daripada belenggu kemiskinan hidup serta meneroka dimensi baru
perniagaan.
Saya sarankan kerajaan memberi insentif
kepada mereka untuk membantu bersaing secara sihat. Jadi kita mahu mereka
buktikan yang mereka tidak pernah mengalah walaupun serba kekurangan,” katanya.
Pic Sekitar Majlis
0 Komen