Barisan Nasional Selangor hari ini mengemukakan bukti wujud arahan
dari pihak Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) melalui Kumpulan Perangsang
Selangor (KPS) kepada pihak ABASS supaya menurunkan pengeluaran air kepada 120
juta galen sehari pada 10 Ogos 2012.
Koordinator BN Selangor, Dato' Sri Ir. Mohd Zin Mohamed berkata,
pihak KPS telah mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa mereka telah
mengarahkan ABASS untuk mengurangkan pengeluaran air terawat. Malah mereka juga
memberikan data pengeluaran air dari pihak ABASS bermula dari Januari 2011
hingga Febuari 2012.
"Hakikatnya, memo yang dikeluarkan oleh pihak KPS kepada
ABASS adalah bertarikh 29 Disember 2011. Ini bermaksud, arahan ini adalah baru
dan bukannya bermula sejak Januari 2011. Memo ini juga turut disertakan bersama
dengan surat yang ditujukan kepada pihak SPAN dan SYABAS bagi menyampaikan
maksud yang sama.
Arahan ini dikatakan dicapai setelah perbincangan dengan pihak
Lembaga Pengarah KPS. Apa yang mendukacitakan kami ialah, pihak Kerajaan Negeri
melalui KPS sanggup mengeluarkan arahan ini. Tidak kisah apa jua alasan yang
diberikan, namun arahan seperti ini dilihat membelakangkan kepentingan
rakyat," ujarnya kepada pemberita dalam sidang media di BN Selangor
sebentar tadi.
Tambahnya, Kerajaan Negeri juga bersikap retorik apabila sering
kali mengatakan bahawa semua agenda mereka adalah demi kepentingan rakyat.
Namun arahan pengurangan kapasiti air terawat ini jelas membuktikan bahawa
mereka sebenarnya lebih mementingkan diri sendiri berbanding rakyat.
"Hakikatnya, rakyat Selangor memerlukan bekalan air terawat
yang berterusan dan kerajaan negeri bertanggungjawab menyediakan sumber bekalan
ini untuk diagihkan.
Kerjasama baik sekian lama antara pihak Loji Rawatan Air, pihak
SYABAS dan kerajaan negeri dilihat semakin goyah sekarang ini apabila kerajaan
negeri tidak mampu menguruskan sumber air ini dengan bijak dan telus,"
ujarnya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Selangor.
Dalam perkembangan yang lain, UMNO Selangor mengalu-alukan keputusan
oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memutuskan bahawa lidah rasmi PAS, Akhbar
Harakah telah melemparkan fitnah terhadap UMNO apabila menuduh UMNO terlibat
dengan kes serbuan di Gereja DUMC sebelum ini.
"Keputusan itu secara jelas membuktikan bahawa PAS dengan
sengaja berniat jahat dan cuba mengelirukan rakyat Malaysia dan mengaitkan UMNO
dalam isu tersebut sedangkan ianya adalah tindakan dari pihak JAIS sendiri.
Ini menunjukkan bahawa peristiwa serbuan ke atas DUMC dan
pemecatan Hasan Ali yang dikaitkan dengan peristiwa tersebut adalah semata-mata
kelemahan dari pihak PAS dan tanpa melibatkan UMNO.
Kami juga ingin menyeru supaya parti politik terutamanya PAS
bertindak dengan lebih matang dan tidak sewenang-wenangnya menabur fitnah.
Keputusan hakim dalam kes ini adalah lebih bermakna kepada kami berbanding
jumlah tuntutan saman kerana membuktikan selama ini PAS menggunakan budaya
fitnah dalam berpolitik," ujarnya lagi.
Sent by Maxis from my BlackBerry®
smartphone
0 Komen