Kepulangan George Lipih Ambo Dinanti Keluarga



George Lipih Ambo, 42, rakyat negara ini yang dibebaskan lanun kelmarin, selepas diculik selama 20 hari dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 2 petang ini selepas semua urusan di Lagos diselesaikan lebih awal.

Perkara itu disahkan Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh selepas mendapat lampu hijau daripada doktor yang menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas George mendapati dia sihat dan bersedia untuk dibawa pulang pada bila-bila masa.

Menurutnya, hasil maklum balas orang tengah yang membantu di dalam proses pembebasannya selepas ditahan kumpulan penculik Teluk Guinea, Nigeria, 4 Ogos lalu, biro bersetuju untuk membawa pulang George hari ini untuk bertemu keluarga dan sanak saudaranya.

“Saya sempat berbual dengannya menerusi panggilan telefon dari Lagos pagi ini (semalam) dan dia begitu gembira kerana dapat pulang ke Malaysia dengan kesihatan yang baik. Sebelum ini, dia mengadu banyak digigit nyamuk dan bimbang dijangkiti Malaria.

“Kebetulan pula, di Nigeria ketika ini dilanda wabak itu di sesetengah kawasan, jadi George bimbang dia turut dijangkiti tetapi Alhamdulillah, semuanya selesai dan dia akan tiba di tanah air seperti dijadualkan,” katanya  semalam.

Muhd Khairun yang juga Exco Pemuda Umno berkata, kepulangan juruelektrik itu akan disambut isterinya, Bibi Suntek, 42, serta anak-anaknya Nathaniel Japang, 18, Bill Easter, 15, dan Aaron Jay, 10, bersama ahli keluarga yang lain.

Dia juga dijangka memberikan penjelasan berhubung kejadian kepada media menerusi satu sidang media sebelum bertolak pulang ke Miri untuk menemui saudara mara lain yang ingin mengetahui secara lebih lanjut kejadian menimpanya itu.

Akhbar Harian Metro melaporkan George dibebaskan kumpulan penculik apabila kapal Jascon 33 kelolaan syarikat industri hiliran dan sokongan petroleum, Sea Trucks Group diserang kumpulan terbabit.

Akibatnya, dua kelasi keselamatan warga Nigeria maut dibunuh kumpulan lanun selain empat anak kapal termasuk George diculik sebelum Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO mengambil langkah proaktif untuk membebaskan George selepas dimaklumkan ahli keluarganya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Muhd Khairun turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan khasnya Wisma Putra yang memberikan kerjasama baik bagi membolehkan usaha membebaskan dan serta membawa pulang lelaki itu menjadi kenyataan.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment